I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, October 26, 2010

Mengkaji bawa Ibrahim kepada Islam

KETIKA hati dan mindanya bagai digegar oleh gempa yang kuat Ibrahim Khalil Philobustiba-tiba terdengar alunan bacaan al-Quran dari corong radio yang bermaksud:

Katakanlah (Wahai Muhammad). Telah diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang sungguh menakjubkan. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan menyekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami. (al-Jin: 1-2)

Diikuti ayat 13 dari surah yang sama:

Dan sesungguhnya kami ketika mendengar petunjuk (Al Quran) kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi). Sesiapa yang beriman kepada Tuhannya maka dia tidak akan merasa bimbang (mengenai pengurangan pahala amalnya yang baik) dan tidak pula takut diperlakukan secara zalim.

Apabila mendengarkan ayat-ayat itu, Ibrahim benar-benar terduduk, hatinya benar-benar terpana.

Seolah-olah ayat itu tepat ditujukan kepadanya. Pada malam itu beliau menghabiskan sepanjang malam di perpustakaan rumahnya dengan membaca al-Quran sehingga isterinya begitu hairan dengan perubahan yang ditunjukkan oleh suaminya itu.

Ibrahim terpaksa berhenti lama untuk memikirkan dan menyelami maksud di sebalik sepotong ayat al-Quran yang baginya menjadikannya bertambah kerdil: Sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk (tunduk) serta hancur berkecai kerana takut kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya." (al-Hasyr: 21)

Ibrahim tidak sahaja terpegun pada keajaiban pada surah al Hasy itu, malah maksud di sebalik ayat 82-84, Surah al-Maidah dan ayat 157-158 Surah al-A'raf juga menyebabkan beliau benar-benar tidak keruan.

"Pada malam itu juga saya muktamadkan sebuah keputusan dan keesokan awal-awal pagi saya memberitahu kepada isteri dan keempat-empat anak kami (tiga lelaki dan seorang perempuan) akan keputusan suami dan bapa mereka ini untuk memeluk Islam, tanpa ada syaknya lagi.

"Isteri tentu sahaja tidak dapat menerima kejutan yang seperti ini lalu dia terus mendapatkan bantuan dari seorang ketua paderi, Monsieur Shavits dari Switzerland seorang yang sangat licik dan cuba memesongkan saya kembali kepada Kristian.

"Apabila saya enggan kecuali tidak berganjak untuk berhenti sebagai paderi, Shavits terus menyebarkan kepada semua orang bahawa saya kini telah menjadi gila," katanya.
Sehinggalah Ibrahim kembali semula ke Kaherah dan beliau berkenalan dengan seorang profesor, Dr. Muhammad Abdul Moneim Al Jamal yang banyak membantu Ibrahim kerana menyangka Ibrahim adalah seorang Muslim.

"Saya terpaksa 'berbohong' bahawa saya sudah memeluk Islam sedangkan hakikatnya secara tidak rasmi saya masih belum memeluk agama itu," katanya.

Begitupun Dr. Muhammad telah menyerahkan satu tugas yang sangat menarik, iaitu meminta Ibrahim untuk menterjemahkan al-Quran ke bahasa Inggeris dengan tujuan untuk diterbitkan di Amerika Syarikat.

"Sebabnya, ketika itu masih terlalu kurang al-Quran terjemahan," jelas beliau.
Dr. Muhammad juga tahu bahawa Ibrahim sedang dalam usaha membuat kajian perbandingan antara al-Quran dengan Taurat dan Injil, lalu mereka bekerjasama dalam menyiapkan usaha-usaha terjemahan dan kajian tersebut. Malah, dia juga berjaya mendapatkan pekerjaan tetap buat Ibrahim di sebuah syarikat alat tulis, sekaligus merubah kehidupan Ibrahim sekeluarga kepada lebih baik.

"Isteri saya beranggapan bahawa niat saya untuk memeluk Islam hanya suam-suam kuku lebih-lebih lagi saya tidak menunjukkan sebarang krisis atau pertembungan antara dua agama tetapi saya sedar bahawa untuk memeluk Islam secara rasmi ini memerlukan jalan yang jauh dan penuh berliku," katanya.

Sehinggalah Ibrahim selesai membuat kajian perbandingan kitab-kitab di samping beliau semakin berjaya sehingga dia boleh membuka syarikat perniagaannya sendiri.
Ketika itulah Ibrahim benar-benar bersedia untuk mengisytiharkan keislaman dirinya. Tepat pada tarikh sambutan Hari Natal, 25 Disember 1959, Ibrahim mengirim telegram kepada Dr. Thompson, ketua Misi Kristian Amerika di Mesir bahawa beliau kini telah memeluk Islam.

Kemudian barulah dia mengaku di hadapan Dr. Muhammad yang dia sebenarnya baru memeluk Islam. Hal ini mengundang kejutan.

Sejurus Ibrahim memeluk Islam dengan nama Ibrahim Khalil Ahmad, maka bermulalah cabaran yang sebenar.

Rakan-rakan paderi yang lain mula melancarkan misi untuk 'menyelamatkan' akidah Ibrahim yang disifatkan sudah terpesong itu.

Tidak berjaya dengan kaedah memujuk, lalu mereka pun mengugut malah sehingga ke tahap membunuh dan mahu memisahkannya dengan anak-anak dan isteri.

Namun, Ibrahim berkata, isterinya berhak untuk tetap kekal dalam agama Kristian dan sekali-kali tidak akan memaksa untuk menurutinya memeluk Islam.

Lalu mereka akhirnya berlutut di hadapan Ibrahim, merayu buat kali terakhir supaya dia melupakan Islam. Bagaimanapun, Ibrahim tetap kental dengan pegangan akidah Islamnya.

Lalu beliau membacakan kepada mereka ayat 84, surah al-Maidah yang bermaksud: Mengapa kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran al-Quran yang sampai kepada kami, pada hal kami sangat mengharapkan agar Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam syurga) bersama-sama orang yang soleh.

Saya katakan kepada mereka; Janganlah kamu menangis dan merayu di hadapanku kerana sepatutnya meratap malu terhadap Allah yang kebenaran mengenai-Nya telah kamu ketahui tetapi kamu dustai! Lalu mereka pun meninggalkan Ibrahim.

Kesemua anak-anak Ibrahim juga tanpa paksaan memeluk Islam (Isaac - Osman, Joseph - Yusuf, Samuel - Jamal, Majida - Najwa) tetapi tidak kepada isteri Ibrahim.
Selama enam tahun si isteri meninggalkannya sebelum kembali semula seperti satu keluarga.

"Isteri saya tetap kekal dengan agamanya kerana saya tidak mahu berlaku sebarang paksaan sehinggalah beliau sendiri secara ikhlas untuk memeluk Islam.

"Hakikatnya dia juga ingin menuruti jejak yang sama memeluk Islam tetapi bimbang penerimaan keluarganya tetapi beliau sebenarnya tidak ubah seperti umat Islam jadinya kerana dia turut berpuasa apabila kami berpuasa di bulan Ramadan," kata Ibrahim yang menunaikan haji pada tahun 1973 dan sepenuh masanya kini tertumpu hidupnya kepada dakwah Islamiah.

No comments: