I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, October 27, 2010

Ijtihad dan mujtahid

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

Islam adalah agama yang praktikal dan sesuai untuk diamalkan pada setiap zaman. Islam dulu , kini dan selamanya tetap relevan untuk sentiasa menjadi sebuah sistem kehidupan yang 'tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas'.

Kesesuaian Islam ini telah dibuktikan menerusi solusi-solusi Islami kepada permasalahan ummah disepanjang sejarah.

Dalam kehidupan kita pada hari ini, berbagai masalah baru muncul. Masalah-masalah baru ini memerlukan penyelesaian dan jawapannya mengikut neraca dan perspektif syariah.

Namun, penyelesaian kepada masalah dan isu-isu ini biasanya tidak terdapat secara jelas atau langsung menerusi nas-nas qatie iaitu al-Quran dan sunnah.

Ia mungkin memerlukan kepada ijtihad baru dari mujtahid-mujtahid. Maka di sini, jelaslah keperluan ummah kepada ijtihad oleh para mujtahid yang berkelayakan.

Para ulama usul fiqh dan fiqh telah mentakrifkan ijtihad sebagai mengerahkan segenap kemampuan untuk mendapatkan hukum syariah yang bersifat praktikal dengan cara istinbath (pengeluaran hukum) (rujuk Asy-Syaukani, Irsyad al-Fukh'ul, hlm. 370).

Melalui takrifan ini, kita dapat memahami bahawa ijtihad memerlukan kesungguhan dengan mengerahkan segala ilmu dan upaya yang dimiliki bagi mencapai solusi yang diperlukan.

Dalam Islam, mereka yang melakukan ijtihad dianggap sebagai beribadat kepada Allah SWT. I

ni kerana dia telah bersusah payah untuk menyelesaikan sesuatu perkara dan mencari keputusan yang terbaik dan selari dengan syariat Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: Jika hakim membuat keputusan dengan ijtihad, lalu ia benar dengan ijtihadnya, maka ia mendapatkan dua pahala. Sebaliknya, hakim yang membuat keputusan dengan ijtihad, lalu ia salah dengan ijtihadnya, maka ia mendapatkan satu pahala. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun, ijtihad bukanlah suatu perkara yang layak dilakukan oleh semua umat Islam.

Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa melalui disiplin tertentu.

Ijtihad hanya layak dilaksanakan oleh mujtahid. Terlalu banyak syarat yang dikemukakan oleh ulama untuk melayakkan seseorang itu mencapai tahap mujtahid.

Namun, secara umumnya kita boleh simpulkan terdapat tiga syarat utama yang perlu dimiliki oleh seorang mujtahid.

Pertama, dapat memahami dengan baik dalil-dalil nas al-Quran, sunnah dan menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Ini termasuklah ilmu sebab nuzul ayat, sebab wurud hadis, nasikh wal-mansukh, balaghah dan sebagainya.

Kedua, seorang mujtahid perlu memahami maksud sebenar nas-nas yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah (dilalatun nas).

Ketiga, beliau mesti memahami masalah dan realiti yang berlaku terlebih dahulu sebelum berijtihad demi mencari penyelesaian terhadap masalah yang berlaku.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

No comments: