I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, October 27, 2010

APABILA PEMIMPIN TIDAK MEMIMPIN

Terlalu banyak istilah digunakan bagi mengatakan tentang kepimpinan. Ada yang menggunakan istilah “Pemerintahan”. Ada yang menggunakan istilah “Kekuasaan”. Ada pula yang menggunakan istilah “Pentadbiran” seperti Pentadbiran Carter (Carter Administration) dan sebagainya. Bagi pemimpin pula, ada yang menggelarkan diri mereka “Presiden”. Ada yang menggelarkan diri mereka “Raja”. Ada “Perdana Menteri”, “Chairman” dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi walaupun semua mereka ini berkuasa dan dianggap sebagai pemimpin di negara mereka masing-masing, mereka sebenarnya tidak memimpin dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka hanya menyusun dan mentadbir hal-hal yang bersangkutan dengan ekonomi, perumahan, pembangunan, keselamatan sosial, pelajaran, pengangkutan, kesihatan dan yang seumpamanya. Mereka hanya terlibat dengan hal-hal yang menyentuh kehidupan lahiriah rakyat dan yang memenuhi keperluan dan kehendak fizikal dan material rakyat semata-mata.

Kepimpinan seperti ini tidak banyak bezanya dengan menggembala lembu dan kambing. Disediakan kandang, diberi makan minum atau disediakan padang ragut, dijaga keselamatan haiwan-haiwan tersebut supaya tidak diserang oleh musuh dan kalau sakit, dipanggil doktor haiwan untuk merawatnya. Memimpin manusia bukan seperti menternak lembu atau kambing. Bukan setakat memberi mereka rumah, makan minum, hiburan, khidmat kesihatan dan kemudian membiarkan mereka membiak dan beranak-pinak.

Kalau kita lihat dan halusi betul-betul istilah kepimpinan itu sendiri, ia membawa maksud yang lebih dalam dan luas dari hanya menjaga, menyusun dan mentadbir hal-hal fizikal dan keperluan hidup. Memimpin itu ada sangkut-paut dengan membimbing, mendidik, menunjuk ajar dan membina peribadi dan akhlak rakyat yang banyak berkait dengan soal roh dan jiwa mereka.

Tidak hairanlah mengapa manusia di seluruh dunia ini tidak terpimpin. Tidak ada orang yang memimpin mereka. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak menjalankan tugas memimpin ini. Malahan pemimpin-pemimpin mereka pun tidak terpimpin. Kalau kita lihat negara-negara yang bukan Islam, walaupun rakyat mereka tidak dipimpin, namun keperluan lahiriah mereka sangat tersusun dan mereka sangat mewah dari segi material.

Di kebanyakan negara-negara umat Islam pula, bukan sahaja rakyatnya tidak dipimpin, keperluan lahiriah atau material rakyat sangat kurang dan pentadbirannya lemah dan kucar-kacir. Ini sudah dua kali malang. Bukan sahaja soal material tidak selesai, soal rohani pun terabai. Macam orang kena penyakit barah dan leukimia pada masa yang sama. Kedua-duanya berbahaya dan boleh membawa maut.

Memimpin itu melibatkan soal keinsanan dan kemanusiaan. Apabila tidak dipimpin, rakyat akan jauh dari Tuhan. Mereka akan jauh dari kebenaran. Mereka akan jauh dari petunjuk dan hidayah. Jiwa mereka akan kosong dari keimanan dan ketaqwaan. Fitrah mereka akan rosak. Keinsanan mereka akan rosak. Akhlak mereka juga akan rosak. Mereka akan hilang panduan dan matlamat hidup. Dunia akan masuk ke dalam hati-hati mereka. Mereka akan lupa Akhirat. Mereka akan hanya terangsang dan merasa ringan dengan hal-hal dunia dan akan merasa susah, berat dan tertekan dengan hal-hal Akhirat. Nafsu mereka akan menggila dan menjadi tidak terkawal.

Mereka akan rakus dan tidak puas mengejar dunia. Sudah ada sepuluh biji kereta mewah, mereka mahu sepuluh lagi. Sudah ada sepuluh buah rumah “mansion”, mereka mahu sepuluh buah lagi. Nampak laut, mahu “luxury yacht”. Nampak ruang udara mahu “private jet”. Mereka tidak ada rasa bersalah. Buatlah apa maksiat pun, mereka tetap merasa megah. Mereka tunduk kepada hawa nafsu mereka dan akan merebut dunia ini semahu-mahunya. Mereka mengangkat nafsu-nafsu mereka menjadi Tuhan mereka.

Bila ini berlaku dan nafsu amarah bermaharajalela dalam diri mereka, maka hati-hati mereka akan menjadi gelap. Jiwa mereka akan mati. Mata hati mereka akan jadi buta. Sukar untuk mereka merasa berTuhan. Sukar untuk mereka melihat kebenaran. Akhirat itu jadi kecil dan tidak penting bagi mereka. Bagi mereka, dunialah segala-galanya.

Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan bermacam-macam sifat mazmumah yang keji. Mereka akan jadi pencinta dunia. Mereka akan gila dunia. Mereka akan jadi hamba dunia. Mereka tidak akan nampak lagi halal haram, baik buruk, patut tak patut, sah atau batal. Apa sahaja yang mereka inginkan, mereka akan ambil. Apa cara pun akan digunakan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara. Mereka akan menjadi ego, sombong dan angkuh. Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan sifat-sifat pemarah, bakhil, hasad dengki, tamak haloba, penting diri, besar diri dan mereka akan hidup nafsi-nafsi. Macam pokok dalam hutan. Masing-masing hendak meninggikan pucuk masing-masing.

Yang sedihnya, bukan sahaja rakyat biasa yang jadi begini. Pemimpin lebih-lebih lagi. Kalau begitu, siapa yang akan memberi tunjuk ajar. Siapa yang akan melarang. Pemimpin sendiri membawa contoh negatif yang diikuti oleh rakyat. Lama-lama ia jadi budaya. Sukar untuk diubah. Inilah puncanya mengapa tidak wujud perpaduan. Inilah sebabnya tidak wujud kesatuan. Tidak wujud kasih sayang di kalangan manusia.

Manusia asyik merebut-rebut dunia dan khazanah negara macam anjing merebut bangkai. Sambil merebut bangkai, bergaduh dan menggigit-gigit sesama sendiri. Timbul krisis. Berlakulah pergaduhan dan perbalahan. Terjadilah tindas menindas, tekan menekan dan jatuh menjatuh. Inilah juga puncanya mengapa maksiat dan jenayah berleluasa di kalangan manusia. Menipu, mencuri, merompak, menculik, merogol, membunuh dan macam-macam lagi. Ini jugalah puncanya akhlak dan moral manusia jatuh menyapu bumi. Rupa macam manusia, tamadun lahiriah dan pembangunan hebat tetapi nilai, moral, akhlak dan cara hidup tidak ada beza dengan haiwan. Inilah akibatnya apabila pemimpin tidak memimpin. Inilah akibatnya bila tumpuan hanya diberi kepada keperluan hidup lahiriah manusia semata-mata. Kepada ekonomi, kepada pembangunan dan kepada kemajuan.

Inilah akibatnya bila roh dan jiwa manusia diabai dan tidak dididik dan dibimbing. Tidak diisi dengan ketuhanan dan cinta Akhirat. Tidak diisi dengan keimanan dan ketaqwaan. Rakyat jadi rosak. Masyarakat jadi rosak. Negara jadi rosak. Akhirnya seluruh dunia jadi rosak. Pemimpin yang tidak memimpin hanya mencipta neraka di dunia.

Dia membina huru-hara dan kacau-bilau. Dia mencipta kesusahan dan kesengsaraan. Dia membawa kebimbangan, keresahan dan ketakutan di dalam hidup manusia. Dia merosakkan perpaduan. Dia memecah-belah. Dia memusnahkan kasih sayang. Dia menghijab dan mendinding manusia dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Dia merosakkan akhlak rakyat. Dia memusnahkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat.

Pemimpin yang tidak memimpin sebenarnya membawa terlalu banyak kerosakan kepada rakyat. Deritanya bukan sahaja di dunia bahkan akan dibawa ke Akhirat. Lebih-lebih lagilah pemimpin yang menyuruh, menggalakkan dan menganjurkan manusia membuat maksiat dan kemungkaran. Yang menyuruh manusia melanggar dan membelakangkan syariat. Pemimpin yang meremehkan agama dan menghalang manusia beragama. Pemimpin yang menghalang manusia menuju Tuhan.

Yang menyusahkan urusan agama manusia. Kemusnahan dan kerosakan bukan sahaja akan berlaku dengan lebih cepat bahkan akan berlaku dengan lebih dahsyat. Lebih baik manusia beruzlah untuk melindung dan memelihara diri dan iman masing-masing dari berada di bawah pemerintahan pemimpin yang seperti ini.

Di Akhirat nanti, setiap pemimpin itu akan disoal tentang apa yang dia pimpin. Lebih-lebih lagilah pemimpin negara. Tanggungjawabnya bukan setakat mengadakan rumah, makan minum, menjaga kesihatan, keselamatan atau mengadakan segala keperluan lahir rakyat. Itu semua perkara kecil. Perkara remeh. Yang besarnya ialah tentang iman, amalan dan peribadi rakyat. Tentang aqidah, ibadah dan akhlak rakyat. Sudahkah dia mendidik, membimbing dan menunjuk ajar rakyat. Sudahkah dia membawa rakyat kepada Tuhan dan merapatkan rakyat dengan agama. Sudahkah dia mensejahterakan hati dan rohani rakyat.

Kesejahteraan fizikal dan lahiriah tidak ada makna apa-apa tanpa kesejahteraan rohani. Kesejahteraan lahiriah tetap akan membawa kepada huru-hara, kacau-bilau, pergaduhan, perbalahan dan krisis. Kesejahteraan lahiriah semata-mata tetap akan mencetuskan pecah-belah dan benci membenci. Tidak akan wujud perpaduan dan kasih sayang hanya dengan kesejahteraan lahiriah. Keamanan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan kasih sayang akan hanya tercetus bila hati dan rohani rakyat berada dalam keadaan sejahtera. Inilah sebenarnya tanggungjawab pemimpin.

Mensejahterakan dan menenangkan hati dan rohani rakyat dengan mengembalikan mereka kepada fitrah mereka. Inilah juga tanda dan isyarat bahawa Allah SWT telah redha dengan pemimpin, rakyat dan negara. Justeru itu diizinkan negara seperti ini menjadi apa yang difirmankan-Nya: "Baldatun toyyibatun warabbun ghafur. " Maksudnya: "Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah." (Saba`:15)

http://halaqah.net/v10/index.php?topic=566.0

No comments: