I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, November 18, 2009

Tiru Cara Oxford Untuk Cemerlang

Oleh ANUAR AHMAD

KALI pertama 'mengenali' Universiti Oxford ialah semasa ayah penulis membeli set peralatan geometri untuk mata pelajaran matematik sewaktu darjah empat dahulu. Di luar kotak geometri itu terdapat lambang dan nama universiti tersohor ini.

Sejak itu cerita kehebatan universiti ini mula penulis kutip sedikit demi sedikit. Pernah guru penulis berkata, Universiti Oxford hanya untuk anak-anak raja sahaja. Anak petani dan nelayan walaupun pandai belum layak belajar di sana. Mungkin itu adalah kata-kata dorongan dari seorang guru.

Minggu lalu penulis berkesempatan ke bandar akademik ini - lawatan keempat ke sana. Perjalanan ke Universiti Oxford mengambil masa sejam dari stesen kereta api Paddington, London. Pelawat juga boleh menaiki bas ekspres dari stesen Victoria, London ke bandar Oxford. Ia mengambil masa sekitar dua jam.

Oxford merupakan universiti terbaik di Britain dan antara tiga universiti ulung dunia selain Universiti Harvard dan Universiti Cambridge.

Bagaimana institusi akademik yang dibina sejak 1096 ini masih berjaya mempertahankan keunggulan selama lebih 900 tahun? Apakah rahsia dan strategi pihak pentadbir?

Penulis ke sana kerana memenuhi jemputan rakan sepengajian yang kini mengajar di Oxford. Ada beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran untuk kita gunakan bagi meningkatkan keunggulan universiti kita.

Pertama, Oxford merupakan universiti yang berteraskan penyelidikan. Malah aktiviti utama pensyarahnya ialah menjalankan penyelidikan. Pelajar juga belajar melalui proses penyelidikan dengan seliaan tutor akademik atau "Don". Hampir semua pensyarah mempunyai geran dan mendapat dana penyelidikan luar selain yang disediakan oleh pihak universiti.

Melihat kepada senarai bidang penyelidikan yang telah dan sedang dilakukan, kebanyakan kajian mereka bersifat inovasi terutama di dalam bidang-bidang baru. Pihak universiti dengan kerjasama sektor korporat nampaknya tidak takut untuk memberikan geran penyelidikan kepada bidang kajian yang masih baru dan belum pasti boleh dikomersialkan.

Tradisi ini sudah lama di Oxford. Lihat sahaja bagaimana penciptaan antibiotik penisilin di makmal patologi universiti ini pada 1928 oleh Sir Alexander Fleming - pakar bidang antibakteria. Ketika awal kajian, tiada siapapun menyangka bahawa ciptaan itu akan berjaya menyelamat nyawa jutaan manusia.

Laporan kewangan tahunan pada 2006 menunjukkan penjanaan geran penyelidikan Oxford mencecah lebih RM1.3 bilion. Ia tidak termasuk dana kerajaan Britain yang berjumlah hampir RM700 juta.

Pendapatan keseluruhan universiti ini pada 2006 melebihi RM3.8 bilion. Manakala pendapatan keseluruhan 38 kolej pengajiannya pula berjumlah hampir RM900 juta.

Kedua, sistem pengajaran di Oxford sangat berbeza dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan universiti di negara lain termasuk Malaysia. Universiti Oxford dan Cambridge sejak ratusan tahun lalu masih mengekalkan kaedah pengajaran tutorial bersemuka antara seorang pensyarah dengan seorang atau sekumpulan maksimum empat pelajar.

Pelajar di universiti ini perlu mempunyai tahap pemikiran yang tinggi untuk membuat penjelasan kepada pensyarahnya tentang projek penyelidikan mereka. Pelajar perlu bersedia mengolah teori, memberikan bukti serta mempertahankan penemuan mereka di depan penyelia mereka.

Menurut rakan penulis, bilangan helaian tugasan bukan sesuatu yang penting tetapi idea serta keupayaan mempertahankan idea lebih diberikan keutamaan. Budaya intelektual ini sebenarnya menajamkan daya pemikiran pelajar.

Ketiga, Universiti Oxford terbina di bandar Oxford. Hubungan universiti dan masyarakat sangat akrab. Kita hampir tidak dapat membezakan di jalanan antara pelajar dan penduduk bandar ini. Perbezaan yang ketara mungkin daripada segi umur sahaja. Kedaikedai kecil di Queen Street misalnya dipenuhi oleh pelajar di waktu tengah hari dan lewat petang.

Masyarakat sekitar memberikan sokongan kepada aktiviti akademik dan bukan akademik. Misalnya persembahan teater pelajar turut ditonton oleh pensyarah dan penduduk sekitar. Begitu juga program seminar dan diskusi. Bukan sahaja dihadiri oleh ahli akademik dan pelajar tetapi juga turut dihadiri oleh penduduk di sana.

Keempat, Universiti Oxford sebenarnya terdiri daripada 38 kolej pengajian. Mungkin berbeza dengan IPTA Malaysia yang menggunakan sistem fakulti atau sekolah pengajian. Melalui sistem desentralisasi pentadbiran kolej pengajian, universiti ini berjaya berkembang dengan baik.

Setiap kolej mempunyai sistem pentadbiran autonomi sendiri di dalam menguruskan pentadbiran dan kewangan. Kolej Merton, Kolej St Mary dan Kolej Magdelan adalah antara kolej yang paling tua. Sementara Kolej St John dikatakan kolej yang paling banyak simpanan dana.

Hampir satu pertiga bangunan di bandar Oxford dikatakan milik kolej ini. Hasil sewaan dan pajakan hartanah ini menjadi punca utama dana untuk Kolej St John menjalankan penyelidikan dan tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Pada yang pernah menonton filem Harry Potter, anda akan sempat melihat adegan di dewan utama Kolej Christ Church yang dikatakan dewan besar yang paling cantik di Universiti Oxford.

Kelima, jika kita berjalan kaki dari kolej ke kolej pengajian, kita akan melihat bagaimana tradisi dipelihara dan dijaga dengan begitu baik. Hampir semua bangunan kolej yang berusia ratusan tahun dikekalkan seperti binaan awal.

Cuma bahagian dalam bangunan dimodenkan. Kita tidak akan melihat papan tanda bersaiz besar sehingga melindungi dinding bangunan kolej. Cukup sekadar sekeping plak tembaga di sebelah pintu masuk utama kolej sebagai tanda kepada pelawat.

Bagaimanapun perubahan dilakukan dengan begitu hebat di bahagian dalam bangunan. Hampir semua bangunan dilengkapi dengan sistem keselamatan terkini. Begitu juga dengan sistem ICT dan juga kemudahan untuk pensyarah dan pelajar.

Mungkin pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tradisi dijunjung, perubahan dizahirkan menepati sekali dengan apa yang dilakukan oleh pentadbir Universiti Oxford!

Seperkara lagi, banyak tradisi serta penekanan kepada etika menjadi keutamaan kepada universiti ini. Misalnya jamuan tahunan setiap kolej dihadiri oleh kerabat diraja Britain dan duta asing.

Begitu juga dengan beberapa acara tahunan seperti pertandingan kriket antara kolej serta mendayung kayak. Banyak lagi tradisi seumpamanya dikekalkan sejak ratusan tahun dahulu.

Tidak sah kalau lawatan ke Universiti Oxford ini jika tidak menjejakkan kaki ke kedai buku utama penerbit Blackwell. Sesiapa yang pernah ke kedai buku ini pasti kagum dengan jumlah buku yang dijual. Ratusan ribu buah dalam pelbagai bidang ada di sini. Seharian berada di kedai buku ini sememangnya tidak cukup khususnya kepada peminat buku akademik.

Selain itu universiti ini juga mempunyai sistem arkib buku terbesar di Britain. Terdapat gedung stor buku yang dibina di bawah bumi Oxford. Semua penerbit buku terkemuka dunia akan menghantar senaskhah buku untuk disimpan di gedung ini.

Pihak arkib terpaksa membina sistem landasan kereta api tersendiri untuk kakitangannya berulang alik mendapatkan buku yang dipesan oleh pelanggan arkib.

Jika anda berhajat untuk meminjam buku di gedung buku ini, anda perlu menunggu di kaunter sekurang-kurang enam jam untuk menerima buku yang dipesan!

Pemerhatian yang terakhir ialah berkaitan aktiviti pelajar. Di luar dewan kuliah, pelajar giat menganjurkan pelbagai aktiviti ilmiah seperti debat dan seminar.

Mereka juga giat menganjurkan teater dan drama di hujung minggu. Selain itu kegiatan amal turut mendapat sambutan.

Sepanjang setahun lalu, persatuan pelajar Oxford telah menganjurkan siri ceramah oleh ahli politik Britain, para duta, bekas perdana menteri dan juga presiden dari negara serta tokoh-tokoh dunia korporat yang berjaya. Semuanya diuruskan sendiri oleh para pelajar.

Bagaimana dengan persatuan pelajar kita? Apakah bentuk aktiviti mereka? Apakah aktiviti yang dilakukan bagi menyokong pembudayaan intelektual mahasiswa?

Universiti Oxford telah melahirkan begitu ramai tokoh yang mempengaruhi perjalanan sejarah dunia sejak dahulu. Nama-nama seperti Bill Clinton, Indra Ghandi, Stephen Hawking, Rupert Murdoch dan ramai presiden di Eropah, Asia dan Afrika.

Universiti ini juga menghasilkan 47 penerima Hadiah Nobel, 25 orang Perdana Menteri Britain, lebih 30 perdana menteri dan presiden pelbagai negara, puluhan sasterawan dunia seperti John Fowles, Evelyn Waugh, Lewis Caroll dan Plum Sykes.

Selain itu ia juga menghasilkan ribuan saintis, pakar ekonomi, usahawan dan jurutera terhebat bertaraf dunia.

Usia universiti kita memang jauh lebih muda daripada Oxford. Jadi tidak rugi jika laluan dan pengalaman mereka kita analisis dan tiru. Jika Universiti Oxford berjaya mengekalkan keunggulan hampir 900 tahun, maknanya tradisi mereka sememangnya sudah teguh dan terbukti.

Tentunya kita juga ingin membina tradisi keilmuan di IPTA negara ini, maka apa salahnya jika sekali sekala menoleh ke Barat untuk mempelajari rahsia kejayaan mereka.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Akademik Kolej, Pusat Perkembangan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia

-utusan-Rencana 18/11/2009

Wednesday, November 11, 2009

Masih Ada Yang Belum Sedar ...


masih ada yang belum sedar
tersendeng di tangga tanpa janggal
meratib dalam selimut cadar
khayal menyedut udara pejal
tanpa memikirkan apa yang perlu ditinggal

bangsa pendatang meluncur ke depan
bangsamu masih belum