Sunday, February 20, 2011
Ibadat Sembelihan Korban
Oleh Jami’ah Shukri
KETABAHAN Nabi Ibrahim yang taat melaksanakan perintah Allah supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail menjadi panduan dan teladan kepada umat Islam dalam melakukan ibadah korban. Mereka taat dan tabah melaksanakan perintah Allah walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.
Kepatuhan kedua-duanya dibalas Allah apabila menukarkan Nabi Ismail kepada seekor kibas.
Selepas berabad lamanya kisah itu, ia terus menjadi amalan kepada umat Islam lain sebagai mengambil iktibar ke atas pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail.
Apa yang lebih penting, ibadah korban pada zaman ini perlu juga dilihat dalam skop lebih luas.
Ibadah korban tidak sekadar dilihat dengan melakukan penyembelihan haiwan tertentu, malah penghayatannya sepatutnya lebih daripada itu.
Ia juga perlu dilihat sebagai manifestasi dalam menggalakkan umat Islam untuk melakukan pengorbanan dalam saja bentuk sama ada harta, wang ringgit atau keringat mengikut kemampuan masing-masing.
Malah, pada Aidiladha umat Islam sepatutnya menghayati erti korban itu sendiri dengan melakukan pengisian yang sewajarnya.
Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Sharifah Hayati Syed Ismail, berkata umat Islam tidak saja perlu mengambil iktibar di atas pengorbanan Nabi Ibrahim, isterinya, Siti Hajar dan Nabi Ismail, malah perlu diterjemahkan kepada pengertian pengorbanan lebih luas ke atas kehidupan seharian.
Beliau berkata, pada Aidiladha ini, umat Islam perlu mengingati serta meningkatkan tahap keimanan dan bertakwa kepada Allah dengan amalan mulia.
Pada Aidiladha ini kita juga perlu sentiasa mengingati bahawa rezeki dan harta dikurniakan oleh Allah itu perlu dikongsikan bersama dengan orang yang berhak menerimanya.
Di sini dinamakan pengorbanan dengan menggadaikan harta benda demi kepentingan umat Islam lain.
Seterusnya, menggalakkan kita membantu fakir miskin, iaitu dengan melakukan sedekah daging korban itu kepada mereka supaya kehidupan kita lebih diberkati.
“Dalam konteks masyarakat sekarang, khususnya di bandar, kesedaran ibadah korban itu semakin meningkat.
“Kita dapat lihat di masjid atau surau di bandar dikunjungi umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab itu.
“Kita dapati mereka juga sedar dan faham bahawa harta yang dicari itu perlu dikongsi bersama untuk mendapatkan keberkatan,” katanya yang mengakui dulu ibadah itu lebih meriah di Pantai Timur berbanding negeri lain.
Dengan wujudnya pelbagai agensi yang menguruskan ibadah korban juga menggalakkan orang ramai untuk melaksanakannya dengan lebih mudah.
Apa yang lebih penting, menerusi ibadah itu secara tidak langsung ia dapat menanamkan sikap tolong-menolong seperti menerusi pengagihan daging kepada fakir miskin, sekali gus ia pastinya akan mengeratkan hubungan lagi antara sesama ummah.
“Pada masa sama mereka dapat berkenal-kenalan antara imam, bilal dan masyarakat setempat. Mungkin pada hari biasa mereka terlalu sibuk dengan tugas, tetapi ketika ibadah itu dilakukan masing-masing dapat saling berhubungan. Inilah yang dikatakan luasnya makna ibadah korban itu,” katanya.
Justeru, katanya, umat Islam seharusnya mengambil kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab melaksanakan ibadah itu sekiranya mereka benar-benar berkemampuan.
Beliau menambah, pengorbanan itu juga tidak seharusnya disempitkan pemahamannya dengan melakukan ibadah korban haiwan saja. Sebenarnya, setiap apa atau tugas yang kita lakukan di dunia ini turut dianggap pengorbanan.
Dalam konteks masyarakat pada keseluruhannya, pengorbanan itu amat luas iaitu berkorban menerusi kerjaya, antara sesama keluarga. Contohnya, isteri bekerja mereka berkorban terhadap keluarga, anak dan suami, juga terhadap kerjayanya.
Walau apa juga jenis bentuk pengorbanan itu, asas yang paling teras adalah berasakan kepada pengorbanan kepada Allah.
“Kalau kita melakukan sesuatu kerja dengan bertungkus-lumus dan tidak dikaitkan dengan Allah, ia tentunya tidak dinamakan suatu pengorbanan. Ia boleh disifatkan sebagai sia-sia tanpa mendapat sebarang balasan pahala,” kata Dr Sharifah Hayati.
Beliau berkata, banyak keistimewaan dan kelebihan ibadah korban seperti dalam hadis ada meriwayatkan bahawa setiap titisan pertama darah yang mengalir daripada tubuh haiwan korban itu akan dapat menghapuskan dosa lampau kecuali dosa besar seperti mensyirikkan Allah.
Ibadah korban itu adalah sebagai lambang untuk menghapuskan dosa dan menanamkan sifat ketakwaan umat Islam.
Amalan baik dengan ibadah korban itu akan menambah berat timbangan kita ketika kiraan selepas dibangkitkan di Padang Mahsyar. Malah, haiwan yang dikorbankan itu juga akan menjadi tunggangan kita ketika menuju ke Siratulmustakim.
Oleh itu, amalan berkenaan boleh dilakukan sebanyak mana yang mereka mahu selagi berkemampuan supaya mendapat balasan pahala yang berlipat kali ganda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment