I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, November 14, 2010

HAJI: ANTARA FALSAFAH, TOKOK TAMBAH DAN NAS

HAJI: ANTARA FALSAFAH, TOKOK TAMBAH DAN NAS

Seorang penceramah haji dalam satu penyampaiannya menyatakan bahawa apabila seseorang melontar di jamrah ketika menunaikan haji dia hendaklah melontar dengan sekuat mungkin dan penuh kemarahan terhadap syaitan yang selalu menghasut kita. Menurutnya, ini kerana jemaah haji ketika itu sedang melontar syaitan yang berada di situ. Para hadirin yang mendengar huraian tersebut ada yang terfikir: Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah tersebut pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia?. Dia bertanya kepada saya tentang kekeliruannya itu.

Saya berkata syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu, walaupun dia jahat. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong?. Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras. Entah berapa banyak para penceramah yang ‘sewaktu dengannya’.

Jangan Melampau

Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas terlebih dahulu, tentu dia tidak membuat huraian yang seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn `Abbas, katanya:



“Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Nabi s.a.w dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana telah mengutip batu-batu yang kecil kerana itu sudah memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran yang patutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para rasul. Dalam ertikata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama. Jika batu-batu yang dilontar di ketiga-tiga jamrah itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil itu. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jamaah haji dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh, yang akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jamaah lain yang cedera.


Gambar Hiasan

Sesiapa yang ingin berfalsafah tentang agama ini, hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada nas-nas yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun sebahagian amalan haji itu mempunyai latar sejarahnya seperti kisah Ibrahim melontar syaitan, namun kita yang menunaikan haji melaksanakannya sebagai memenuhi arahan Allah dengan contoh amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sama seperti kita rukuk, sujud dan segala pergerakan lain dalam solat, kita laksanakannya dengan kaedah dan contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w.

Khurafat

Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai berbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumahnya lagi. Percayaan ini adalah khurafat. Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah!!. Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi s.a.w dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.

Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jamaah haji sesetengah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan beberapa tahun dahulu sebelum telaga Zam-Zam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan. Ada pula yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya.


Gambar Hiasan

Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya ada di Mekah dengan berbagai peralatan canggih. Mengoyak kelampu tersebut bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat?. Perkara seperti ini jika tidak dikawal Dunia Islam akan hanyut seperti sebahagian ajaran tarekat dan syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka. Sebab itu Saiyyidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah s.a.w dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.

Tiada Unsur Keberhalaan

Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Ka’bah, sebaliknya mereka hanya menghadapkan wajah ke arah Ka’bah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi s.a.w memohon agar dipilih Masjidil Haram sebagai arah kiblat kaum muslimin. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah untuk kita. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala. Kita hanya tunduk mengabdikan diri kepada Allah. Allah Yang Maha Suci dari menyerupai sebarang makhluk itu tidak diwakili oleh apa-apa objek atau insan atau haiwan. Jika diandaikan Kaabah itu dicabut dan dipindahkan ke negara lain, umat Islam tidak akan mengadap wajah mereka ke arah yang baru itu atau pergi haji ke negara baru hanya kerana Kaabah di situ. Tetap ke arah Masjid Haram dan Mekah yang asal. Bukan objek yang disembah, tetapi menunaikan ibadah berdasarkan arah dan tempah yang diperintahkan Allah. Firman Allah:



(maksudnya): Kerap kali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid Al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya (Surah al-Baqarah 144).

Dalam sejarah, puak Qaramitah yang amat terkutuk pernah menyerang Mekah, mencuri Hajarul Aswad, membahagi-bahagikan kelambu Kaabah, dan mencuri pintunya. Mereka membawa Hajarul Aswad ke negara mereka Hijr. Hajarul Aswad berada di sana di antara tahun 319H sehimgga tahun 339H. Akhirnya dikembalikan (lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Namun umat Islam tidak pula menukar tempat haji mereka ketika itu, pergi ke negara Qaramitah tersebut. Kerana, bukan batu yang dipuja. Justeru itu, ‘Umar bin al-Khattab r.a. apabila datang mencium Hajarul Aswad berkata:



“Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hanya Mencontohi Rasulullah

Oleh kerana Rasulullah s.a.w menciumnya sebagai syiar ibadah maka kita pun menciumnya, bukan kerana ia mempunyai sebarang kesaktian atau unsur ketuhanan. Demikian juga tawaf, sa’i, wukuf dan kesemuanya dilakukan dengan kadar yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan dengan akidah yang diajar oleh baginda. Jika ini tidak fahami, maka itulah yang kita lihat ada yang memanjat Jabal Rahmah di Arafah kononnya untuk menyeru nama-nama kaum keluarga atau kenalan agar dapat datang menunaikan haji pada tahun-tahun berikutnya. Padahal perkara-perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabah. Firman Allah:



(maksudnya): “Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (Surah al-Nisa 115).

Berkat Dan Rahmat

Ini bukan bererti kita menafikan unsur keberkatan dan rahmat Allah yang melimpah yang diturunkan di tempat-tempat mulia lagi terpilih tersebut. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba apabila merindui Tuhannya, dia ingin merintih, merayu dan mencari tempat dan masa yang dapat menjadi dirinya merasa lebih dekat kepada Tuhannya. Maka dipilih tempat-tempat mulia ini untuk dilimpahi rahmatNya di situ melebihi tempat yang lain seperti Mekah dan Madinah, Zam-Zam dan Kaabah, Mina dan Arafah dan seumpamanya. Seperti mana Allah memilih waktu-waktu yang dilimpahi rahmatNya melebihi waktu yang lain seperti malam al-Qadr, bulan Ramadan, Hari Jumaat, demikianlah juga hari-hari waktu ibadah haji. Maka insan muslim, ketika melalui tempat atau waktu yang dirahmati itu hendaklah segala jiwa dan perasaan mengaitkan sepenuh kerahmatan dan kebaikan yang akan diperolehinya di tempat atau waktu berkenaan adalah kurniaan Allah semata. Hanya daripadaNya sahaja. Allah punca utama segala kebaikan itu; bukan masa, objek ataupun tempat. Jika perasaan dibentuk demikian rupa, maka segalanya menjadi kecil dan kerdil di hadapan jiwa tauhid yang melimpahi ruang keimanan seorang insan.

Untuk Allah Semata

Ibadah haji juga mengajar erti membulat niat dan nekad hanya kerana Allah. Apalah yang menarik jika kota Mekah itu dilihat di sudut muka bumi dan kesuburannya. Lembah yang kering-kontang tanpa tumbuh-tumbuhan. Namun, manusia tidak pernah putus-putus mengunjunginya, sejak Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah yang mulia. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancung dan berseronok suka. Firman Allah:



(maksudnya): “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (memakmurkannya dengan ibadat) maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur. (surah Ibrahim: 37)

Perjuangan Tauhid

Dalam ibadah haji dan umrah, seorang muslim dapat merasai kesinambungan sejarah agama ini, sejak Nabi Ibrahim a.s. sehingga ke hari ini. Perjuangan membela dan menegak tauhid yang kudus dan lurus bukan bermula dalam beberapa hari ini, atau beberapa tahun, bahkan umur perjuangan ini sudah ribuan tahun. Firman Allah:



(maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: “Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;. “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka al-Kitab (Al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Baqarah 127-129)

Siapa sangka gerakan yang dimula oleh dua orang nabi, berkesinambungan sehingga ke hari ini. Bagi setiap zaman ada yang meneruskan perjuangan mereka. Sekalipun para pembela tauhid dan menegak titah perintah tulen Tuhan itu akan menghadapi berbagai rintangan yang tidak pernah putus. Ada yang dihina, dituduh, diusir, ada yang dipenjara, ada yang dibunuh dan berbagai penderitaan yang lain. Namun, para penerus perjuangan Ibrahim a.s. tidak pernah putus asa terhadap kebangkitan ajaran Nabi Ibrahim a.s. Ini kerana mereka sedar bukan mereka yang memula dan mengakhiri perjuangan ini. Sebaliknya perjuangan ini telah bermula sejak ribuan tahun dan akan terus ada penyambungnya bagi setiap zaman. Nabi Muhammad s.a.w adalah penyambung agung. Perjuangan ini tidak mati dengan dibunuh atau mati seorang pejuang, kerana hasrat dan seruan perjuangan akan disuburi oleh rahmat dari langit. Jamaah haji mesti menghayati hakikat ini ketika memijak tempat yang telah Nabi Ibrahim a.s. mula perjuangannya.

http://drmaza.com/home/?p=1262

No comments: