SOALAN 1:
Saya akan membuat akikah untuk kelahiran anak lelaki saya. Pada hari tersebut saya akan menyembelih dua ekor kambing dan membuat jamuan makan.
Bolehkah saya menggabungkan niat saya untuk membayar nazar (menjamu anak-anak yatim makan) di dalam majlis akikah anak saya ini atau sebaik-baiknya ia diasingkan?
JAWAPAN:
Jenis ini disebut sebagai nazar mutlak, iaitu mewajibkan diri dengan sesuatu ketaatan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas apa yang diperolehi dan yang telah berlaku, sama ada berbentuk nikmat atau terhindar dari bala.
Contoh bernazar setelah Allah melepaskannya dari kesengsaraan dan kesedihan atau Allah mengurniakannya dengan rezeki.
Menunaikan nazar adalah wajib bagi mereka yang telah beroleh daripada Allah SWT apa yang dihajatkan.
Hal ini jelas di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) Yang tua sejarahnya itu. (al-Hajj: 29)
Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepada-Nya), serta mereka takutkan hari (akhirat) Yang azab seksa-Nya merebak di sana-sini. (al-Insan: 7)
Begitu juga hadis nabi SAW. Sabda Rasulullah SAW daripada Aisyah r. ha yang bermaksud: Barang siapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah, dan barangsiapa yang bernazar memaksiati Allah maka jangan kamu maksiatinya. (riwayat al-Bukhari)
Tiada halangan syarak untuk menggabungkan dua perkara dalam satu majlis iaitu dengan mengadakan majlis akikah dan beri makan kepada anak-anak yatim seperti yang dinazarkan.
Ini kerana akikah adalah tuntutan muakkad ke atas waris apabila mereka mendapat cahaya mata. Maka sebagai tanda kesyukuran terhadap penganugerahan Allah kepada manusia, Nabi SAW menyuruh secara muakkad agar dilakukan akikah dengan menyembelih seekor kambing untuk anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki.
Selagi tidak dilakukan akikah maka selagi itu hutang tertanggung ke atas waris sehingga dia baligh, selepas itu anak itu sendiri boleh membuat akikah atas dirinya sendiri dengan wangnya.
Justeru, menggabungkan nazar dan akikah adalah harus kerana kedua-keduanya adalah tuntutan yang berbeza.
SOALAN 2:
Sewaktu bernazar, saya tidak melafazkan jumlah atau nilai wang yang diperuntukan untuk menjamu makan bagi membayar nazar tersebut. Pada hari jamuan akikah kelak, saya dan suami akan berkongsi kosnya.
Adakah saya telah dikira selesai membayar nazar tersebut, walaupun berkongsi membayarnya?
JAWAPAN:
Disebabkan nazar puan lafaznya umum maka terpulanglah kepada puan untuk berapa orang anak yang puan ingin beri makan.
Bagaimanapun, janganlah menyalahi adat, iaitu kebiasaannya bila kita sebut anak-anak yatim ia merujuk kepada anak-anak yatim di mana-mana pusat jagaan anak-anak yatim.
Jadi seharusnya jumlah yang diberi makan tidak kurang daripada 10 orang. Ini bersesuaian dengan apa yang disarankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
Firman Allah yang bermaksud: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat Dengan bersungguh-sungguh. maka bayaran dendanya adalah memberi makan 10 orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu adalah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agamanya) supaya kamu bersyukur. (al-Maidah: 89)
Ayat ini menyatakan perihal denda yang dikenakan bagi mereka yang melanggar nazar.
Namun tidak salah kalau kita ambil saranan al-Quran bahawa memberi makan kepada fakir miskin mestilah 10 orang jumlahnya.
Maka puan juga saya sarankan agar anak yatim yang dijemput kelak hendaklah tidak kurang sepuluh orang. Adapun cadangan puan untuk berkongsi kosnya dengan suami itu dibolehkan.
Syaratnya, puan perlu mengira kos makan 10 anak yatim untuk puan keluarkan belanjanya. Yang boleh dikongsi adalah kos menguruskan kenduri tersebut. Maksudnya kos makan anak-anak yatim wajib daripada puan yang bernazar.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
No comments:
Post a Comment