Disiarkan pada Jun 17, 2007 dalam kategori Tamadun |
Sesungguhnya perjuangan mengajak supaya kita melihat agama berasaskan dalil atau fakta bukan taklid adalah perjuangan yang dipelopori oleh semua para mujaddid (tokoh pembaharuan). Di tanah air kita, para pejuang pembaharuanlah yang berusaha mengeluarkan masyarakat melayu dari pelbagai khurafat dan tahyul yang sebahagian menggunakan nama agama kepada akidah yang bersih.
Dua bulan yang lepas, Prof. Diraja Ungku Aziz mengirimkan saya sebuah buku yang amat mengagumkan. Saya amat gembira dengan hadiah yang tidak ternilai itu. Kata Pak Ungku, beliau telah membaca buku tersebut berulang-ulang kali. Bukunya nipis sahaja. Karya seorang tokoh melayu agung; Pendeta Za’ba.
Akibat tindakan golongan konservatif agama yang menentang pembaharuan di Perak pada tahun 30-an maka tulisan-tulisan Za’ba diharamkan dan buku tersebut turut tidak dapat muncul pada hayat Za’ba. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil tanggungjawab yang betul dengan mencetaknya walaupun setelah ketiadaan Za’ba.
Buku yang Pak Ungku kirimkan itu bertajuk: Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri.
Di muka hadapan buku tersebut diletakkan tajuk dan gambar Za’ba. Di kulit belakangnya diletakkan kata-kata beliau: “Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapat kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak…”
Dengan melihat kepada tajuk dan dan petikan tersebut, saya tertanya-tanya mengapakah Pak Ungku mengirimkannya kepada saya. Ia mendesak saya segera membaca buku berkenaan. Apabila saya baca saya dapati buku tersebut sangat hebat.Za’ba bukan sekadar seorang ilmuwan bahasa semata, beliau juga seorang ilmuwan agama yang terbilang. Namun sikap agama yang begitu konservatif pada era beliau telah membunuh kewibawaan tokoh-tokoh yang seumpama beliau.
Sebenarnya, Za’ba dalam buku berkenaan menceritakan serta mengulas sikap orang melayu termasuk dalam hal beragama. Sikap suka bergantung kepada orang dan suka mengambil kesempatan atas nama agama.
Menurut Za’ba, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa melayu. Sikap enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan yang kadangkala dikaitkan dengan agama membentuk nilai diri yang enggan berubah dan lemah. Antara kata-kata Za’ba dalam buku tersebut: “Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang.
“Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya.” (m.s 24).
Sikap bertaklid buta dalam pelbagai perkara terutama hal agama melambatkan proses pembangunan minda. Maka tidak hairan jika minda agama kita tidak mampu bersaing dengan pembangunan fizikal yang dibuat. Walaupun Za’ba menulis pada tahun 30-an, namun realiti hari ini masih terasa kesegaran tulisan tersebut.
Kata Za’ba: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.
“Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan dan Rasul-Nya tidak menyukai orang-orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain.
*Tertaklid
“Imam-imam Mujtahidun dahulukala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekalian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid-murid dan pengikut-pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu.” (m.s. 25-26)
Sesungguhnya perjuangan mengajak supaya kita melihat agama berasaskan dalil atau fakta bukan taklid adalah perjuangan yang dipelopori oleh semua para mujaddid (tokoh pembaharuan). Di tanah air kita, para pejuang pembaharuanlah yang berusaha mengeluarkan masyarakat melayu dari pelbagai khurafat dan tahyul yang sebahagian menggunakan nama agama kepada akidah yang bersih.
Mereka jugalah yang mengeluarkan wanita dari kuasa paksaan bapa dalam perkahwinan, larangan wanita ke pusat pengajian dan seumpamanya. Mereka juga yang mengajak diubah amalan-amalan agama yang tidak berasaskan dalil bahkan lebih bersifat ‘bisnes cari untung’ seperti upah-mengupah ketika kematian.
Tol-tol kematian tersebut telah mengorbankan harta benda anak yatim dan orang miskin. Apabila berlaku kematian maka masyarakat berkumpul dan memakan harta peninggalan si mati, bukan berfikir tentang masa depan dan kebajikan kaum keluarganya. Ia sangat berbeza dengan ajaran Islam yang menyebut: “Apabila datang berita kematian Ja’far bin Abi Talib, Nabi s.a.w. bersabda: Buatlah untuk keluarga Ja’far makanan kerana telah datang perkara yang mengganggu urusan mereka. (Hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan lain- lain).
Tujuan para pejuang perubahan tidak lain, selain dari ingin melihat kebajikan, kegemilangan umat dan kemampuan mereka menghadapi cabaran zaman. Juga memelihara pegangan umat sehingga jangan seakan menganggap pandangan orang bergelar agama kesemuanya mesti ditelan bulat-bulat tanpa dinilai dengan neraka al-Quran dan al-sunah.
Tiada siapa pun yang maksum di kalangan umat melainkan Muhammad bin Abdillah s.a.w. insan yang ditabalkan menjadi rasul. Kata al-Imam Malik bin Anas: “Tiada seorang pun selepas Nabi melainkan boleh diambil dan ditolak pendapatnya kecuali Nabi.” (Al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, 2/119, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-’Arabi).
Kata Za’ba yang menyelusuri pegangan ini: “Sekalian imam besar Islam zaman dahulu itu walau ‘Imam-imam Mujtahidun’ pun dan walau bagaimanapun alimnya, tidaklah pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara daripada tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri mereka tidak bersifat maksum itu.
“Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah layak dikira maksum pada apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam hal agama. Sungguhlah sebagai ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi; tetapi itu tidaklah memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada segala-gala pendapat fahaman mereka.
“Maka oleh sebab itu tidaklah pernah mereka mendakwa sekalian pendapat dan fahaman yang telah mereka keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti disetujui oleh orang sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak bagi segala hal dan zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka mendakwa demikian, malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata: “Kalau ada apa-apa perkataan atau pendapatku yang didapati oleh orang-orang kemudian bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi s.a.w., maka lemparkanlah ke tembok!”
“Apa lagilah jika sekiranya ada didapati bersalahan dengan al-Quran! Mereka tiada suka orang mengikut dengan taklid buta kepada apa-apa pendapat dan fahaman mereka itu. Mereka selalu suruh uji dan timbang sendiri barang apa-apa jua yang mereka katakan dalam kitab-kitab karangan mereka: Jika didapati betul bolehlah ikut; jika tidak betul atau tidak sesuai lagi, buanglah atau baiki akan dia.” (m.s 26)
Malangnya, golongan yang berkepentingan atas nama agama pada setiap zaman mencemburui proses perubahan dan pembaharuan berdasarkan al-Quran dan al-sunah. Sedangkan umat memerlukannya. Lalu yang berkepentingan menghasut sesetengah pihak agar menganggap proses pembaharuan adalah sesuatu buruk dan patut ditentang.
Za’ba menjawab hal ini dengan tegas, katanya: “Kita semuanya berkehendakkan baik dan tiada siapa yang berkehendakkan jahat. Kita ingin hendak membaiki segala hal-ehwal kita yang kekurangan, sama ada pada perkara dunia dan pada perkara agama; hendak mengubah segala sifat keadaan kita yang buruk atau kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal kita yang mundur dan ketinggalan, ditukar dengan yang maju dan bertambah elok mengikut kehendak zaman pada segala yang baik.
“Kita hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput, ditukar dengan fikiran-fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan kepercayaan yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi akal dan ilmu pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan bukan hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut dari tujuan asalnya dan bukan pula berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku jadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan!” (m.s 38)
Sunggguh pelik, seorang sarjana besar bangsa seperti Za’ba diharamkan pemikiran dan tulisannya oleh golongan agama yang sempit pada zamannya. Namun, apa yang hendak dihairankan, tokoh agung Nusantara iaitu Buya Hamka telah diharamkan berceramah di negeri tertentu di Tanah Melayu ketika hayatnya. Hanya kerana pandangan Hamka tidak dapat diterima oleh sesetengah mufti Tanah Melayu. Sehingga Hamka menulis beberapa sindiran yang amat tajam terhadap mufti-mufti di Tanah Melayu.
*Semangat
Hal seperti inilah yang Za’ba sebutkan: “Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulukala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!
“Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulukala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada al-Quran dan hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulukala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu dan berbagai-bagai lagi.
“Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat.”(m.s 33).
Demikian nasib yang diterima oleh para pejuang perubahan pada setiap zaman. Bacalah sejarah perjuang Syed Syeikh al- Hadi, Mustafa Abdurrahman dan lain-lain di Tanah Melayu. Namun mereka telah nekad yang akhirnya melimpahkan kebaikan kepada generasi kemudian. Dalam konteks yang lebih global, lihatlah sumbangan perjuangan tajdid seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Rasyid Redha dan lain-lain. Walaupun sebahagian besar mereka di‘gam’kan pada zaman mereka, namun nama mereka terus dikenang oleh generasi kemudian. Bak kata pepatah ‘Al- Baqa li al-Aslah’ iaitu berkekalan itu bagi yang terbaik. Pihak yang men‘gam’kan mereka telah pun dilupai namanya, namun nama para pejuang terus dikenang.
Lihat al-Imam Ahmad yang dihukum dengan begitu rupa oleh kuasa agama pada zamannya. Hakim yang menghukum al-Imam Ahmad sekalipun megah bersandarkan kedudukan pada masa itu telah dilupai namanya oleh generasi kemudian, namun nama al-Imam Ahmad dan pendiriannya terus dikenang dengan tinta emas oleh sejarah.
Untuk itu saya selalu katakan sesuatu pemikiran apabila dilontarkan ke dalam masyarakat, ia tidak dapat dihapuskan lagi melainkan dengan pemikiran yang lebih kukuh dan teguh. Paksaan tidak mungkin dapat menghancurkan sesuatu pemikiran, kerana tempat pemikiran adalah fikiran atau minda. Hanya yang boleh mencabutnya keluar adalah hujah yang memaksa minda akur dan menerimanya. Fahami hakikat ini.
Sesungguhnya jeritan dan bantahan atas emosi dan sentimen tidak akan membuahkan hasil. Jawablah sesuatu hujah itu dengan hujah, bukan dengan sentimen dan emosi. Di samping wajib kita ingat hikayat melayu Hang Nadim yang dibunuh kerana kepintaran ideanya dek bimbangkan kepentingan diri janganlah diwatak di pentas realiti kita.
Buku Za’ba ini baik untuk dibaca terutama bagi yang kuat bercakap soal Islam di Malaysia mesti ikut ‘orang tua-tua Melayu’. Za’ba adalah tokoh sarjana melayu. Seperti Pak Ungku menyarankan kepada saya. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga cuba mengambil langkah memasyhurkan buku ini.
Saya sarankan anda membaca buku tersebut. Saya juga berterima kasih kerana setiap tulisan saya dibaca oleh ramai negarawan, menteri, tokoh-tokoh masyarakat dan rakyat biasa yang memberikan semangat yang sangat positif kepada saya. Walaupun segelintir yang kurang senang, namun saya harap ia tetap akan dikenang.
No comments:
Post a Comment