I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, December 15, 2009

Ulama Tidak Bina Minda Kritikal

Salhan K Ahmad | Dec 15, 09 11:49am

Para ulama lebih cenderung untuk menyalahkan 'dunia barat' atas kemunduran umat Islam sedangkan golongan ini sendiri tidak proaktif dalam membangunkan minda masyarakat supaya bersikap lebih kritikal, termasuk terhadap pandangan mereka sendiri.

Prof Tariq Ramadan, seorang tokoh pembaharuan Islam, berkata kelemahan ini dikesan antaranya disebabkan para ulama kini bukan sahaja jauh terpisah daripada ilmu-ilmu baru, khususnya bidang bukan agama, malah dilihat tidak lagi bersama orang kebanyakan dan golongan akar umbi.

"Ini adalah satu seruan kepada orang Islam supaya memahami di manakah masalahnya, dan apakah kita komited dengan perubahan yang kita uar-uarkan," kata ilmuan Islam berpengaruh itu dalam satu syarahan mengenai reformasi dan pembaharuan agama di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Bekas pensyarah di Universiti Oxford itu juga berkata, para ulama dilihat bercakap dengan menggunakan istilah-istilah yang sama, tetapi mengandungi makna yang berbeza-beza.

Tambahnya, ulama perlu membezakan prinsip dasar perundangan Islam dan juga undang-undang syariah, sesuai dengan keperluan semasa, untuk mencapai objektif prinsip tersebut.

"Contohnya, Saidina Umar Al-Khattab telah menggantung sementara pelaksanaan hukum hudud pada satu tahun ketika rakyatnya menghadapi kebuluran.

"Bagaimana ini boleh dilakukan sedangkan di dalam Al-Quran telah menyatakan (kewajiban hudud) ini dengan jelas?" katanya lagi.

Jelasnya, undang-undang itu perlu difahami sebagai satu tujuan untuk mencapai keadilan dan bukannya tentang pematuhan kepada kod syariah semata-mata.

"Kita memerlukan (model) yang lebih sofistikated. Untuk pergi ke arah itu, kita perlu mempunyai wawasan, rangka kerja dan perubahan radikal dalam pemikiran kita," katanya lagi.

Jelasnya lagi, prinsip Islam bersifat sejagat dan merentasi tempat dan masa tetapi model tertakluk pada konteks masa atau lokasi pelaksanaan sesuatu.

"Jadi, jika kita cuba mempraktikkan model Madinah (pentadbiran Islam era Nabi Muhammad) di Kuala Lumpur, ia adalah mustahil," katanya, kini presiden Jaringan Islam Eropah yang berpusat di Brussels.

Jelasnya, umat Islam juga perlu mengambil sikap lebih radikal, antaranya kewibawaan untuk bercakap tentang Islam juga perlu diubah dan tidak dihadkan kepada para ulama sahaja.

"Jadi siapakah yang perlu melakukannya? Orang-orang dalam masyarakat ini sendiri, mereka yang duduk secara pasif dan menyalahkan para ulama kerana tidak menjalankan tugas mereka.

"Ada di kalangan kita yang berada di kemuncak (kerjaya) dalam bidang masing-masing, tetapi apabila ditanya soal agama, mereka kata mereka tidak tahu apa-apa. Mereka bersifat keanak-anakan dalam bidang agama, tetapi pakar dalam bidang-bidang lain," katanya lagi.

Tambahnya lagi di depan kira-kira 300 hadirin, para ulama perlu memahami konteks perkembangan ilmu semasa dan hubungannya dengan asas-asas pemikiran untuk menangani dunia yang pesat berubah seperti hari ini.

Ulama pada masa lalu mampu mendalami ilmu bukan agama – yang membantu memahami agama dan kehidupan – dan pada masa sama menjadi pakar dalam ilmu-ilmu asas agama, jelasnya.

"Namun pengetahuan dalam bidang sains, dalam perubatan, malah dalam ekonomi kini sudah menjadi begitu kompleks sehingga memerlukan komitmen yang lebih mendalam untuk memahaminya.

"Jadi bagaimana kita hendak menguasai ekonomi sekiranya tidak ada di kalangan kita sekarang yang boleh memberi persaingan kepada sistem riba dan spekulasi pasaran?"

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh para ulama kini adalah dengan mengekstraksi sejarah kegemilangan Islam itu ke dalam model dunia semasa yang boleh dipraktikkan pada masa kini.

"Jika bercakap tentang sains (Islam), kita bercakap tengan Timur Tengah. Jika bercakap tentang seni bina (Islam), kita bercakap tentang Andalusia, kita cuma bercakap tentang sumbangan pada masa lalu, tapi apa sumbangan kita (kini) untuk masa depan?"

"(Pembangunan) ini adalah salah satu proses, tapi apakah wawasan kita? Apa yang hendak kita capai? Di mana hala tuju kita? Apa projek kita untuk Islam hari ini?"

Jelasnya lagi, masyarakat Islam kini tidak boleh hanya bergantung kepada ulama teks, tetapi memerlukan ulama dalam konteks bidang kepakaran masing-masing.

"Kita perlukan ulama dalam bidang perubatan, psikologi, sosiologi dan ekonomi dan dalam pendidikan untuk memberikan wawasan kepada kita," katanya di majlis bersempena pelancaran NGO baru Islamic Renaissance Front (IRF).

Tambahnya, masyarakat Islam seperti di Malaysia masih berkemampuan untuk mencapai kemajuan tanpa mengabaikan ciri-ciri budaya masyarakat setempat seperti dalam soal kesenian.

"Ada sesetengah ulama yang kata (bahawa) mendengar muzik itu haram, tapi janganlah kata saya yang dengar muzik ini kurang Islam daripada anda kerana saya dengar muzik.

"Jangan biarkan sesiapa di Malaysia atau dari mana-mana negara memberitahu anda (bahawa) untuk menjadi Islam anda perlu mengarabkan diri anda.

"Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan budaya Arab adalah budaya Arab. Budaya anda perlu menghidupkan Islam sebagai agama sejagat, ini perlu dijelaskan, kata Tariq lagi.

http://www.malaysiakini.com/news/119858
15/12/2009

No comments: