I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, January 24, 2010

Surah Hafazan DUS 1042 Tasawwur Islam

Senarai Surah Hafazan DUS 1042
Tasawwur Islam

*hati yg sentiasa tenang ialah hati yg sentiasa mengingati Allah*

1. Surah al Fatihah
2. Surah an Nas
3. Surah al Falaq
4. Surah al Ikhlas
5. Surah al Masad
6. Surah an Nasr
7. Surah al Kafirun
8. Surah at Takathur
9. Surah az Zalzalah
10.Surah al 'Adiyat
11.Surah adh Dhuha
12.Surah al Bayyinah
13.Wirid selepas solat
14.Doa

*Sila hafal surah2 di atas segera, sesi hafazan akan di adakan bila2 masa sahaja semasa sesi kuliah di dalam kelas.

Thursday, January 21, 2010

Soalan Tugasan Individu DUS 1042

SOALAN TUGASAN INDIVIDU
DUS 1042 – TASAWWUR ISLAM
SEM 1 JAN – JUN 2010

1. Mazhab Syafi’e merupakan salah satu mazhab di dalam Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Bincangkan pandangan mazhab Syafi’e mengenai solat qasar.
2. Solat jamak merupakan rukhsah yang disediakan ke atas musafir. Huraikan konsep solat jamak dan kaifiatnya mengikut pandangan mazhab yang diterima dalam Islam.
3. Puasa merupakan salah satu rukun yang terkandung dalam rukun Islam. Bincangkan konsep puasa Qada’, kifarat puasa, puasa kifarat serta fidyah puasa.
4. Konsep penggantian haji (upah haji) bagi yang tidak mampu atau sudah meninggal dunia di bolehkan di dalam Islam. Huraikan konsep penggantian haji di dalam Islam.
5. Menyapu khuf dalam Islam sebagai menggantikan membasuh kaki semasa berwudhuk dibenarkan di dalam Islam. Jelaskan konsep menyapu khuf dalam Islam mengikut pandangan Ulama’.
6. Islam menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Huraikan konsep riba mengikut pandangan fuqaha’.
7. Jual beli termasuk dalam muamalat yang dianjurkan di dalam Islam. Nyatakan hukum dan jenis-jenis jualan fasid dalam Islam.
8. Hudud dalam Islam merupakan satu pencegahan kepada permasalahan sosial. Bincangkan hukum zina dan pelaksanaan hokum hudud ke atas penzina.
9. Bincangkan hukum suami menuduh isteri melakukan zina (Li’an) mengikut pandangan fuqaha’.
10. Menyamakan bahagian anggota isteri dengan mahram adalah haram di sisi Islam. Huraikan syarat dan kesan zihar dalam rumahtangga.
11. Memberi mahar kepada isteri dalam perkahwinan merupakan suatu perintah yang ditetapkan dalam al-Quran. Bincangkan konsep mahar, syarat dan jenis-jenis mahar dalam Islam.
12. Islam membeza-bezakan status perempuan dalam isu perkahwinan. Huraikan kedaan perempuan yang haram dikahwini mengikut pandangan fuqaha’.
13. Hukum semasa perempuan berhaid, nifas dan istihadhah adalah berbeza-beza. Bincangkan kedudukan perempuan berhaid, nifas & istihadhah dalam Islam.
14. Huraikan syarat bertayammum dan sebab-sebab membatalkannya mengikut pandangan mazhab Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
15. Sujud tilawah merupakan sujud yang disunatkan di dalam Islam. Jelaskan pandangan fuqaha’ mengenai sujud tilawah dan perkara yang merosakkannya.
16. Nazar merupakan ikrar janji yang wajib dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jelaskan pengertian nazar dan perkara yang berkaitan dengannya.
17. Bincangkan hukum aqiqah dan dasar pelaksanaanya di dalam Islam.
18. Jihad merupakan satu seruan ke atas semua umat Islam untuk mempertahankan Islam. Bincangkan hukum jihad dan kaedah-kaedah berjihad dalam Islam.
19. Peminangan dalam Islam merupakan satu Sunnah yang dianjurkan. Jelaskan konsep peminangan dan permasalahannya mengikut pandangan syariat.
20. Wali merupakan salah satu rukun dari rukun-rukun nikah. Huraikan jenis-jenis wali dan halangan dalam perwalian.
21. Islam merupakan satu-satunya agama yang membela wanita yang dizalimi dalam isu perkahwinan. Bincangkan hukum tebus talak di sisi Islam dan kaitannya dalam membela kaum wanita.

Surah Hafazan DUS 2142/DUS 3142 Sesi Jan-Jun 2010

Senarai surah hafazan sem 2 DUS 2142/ DUS 3142
(Institusi Islam & Cabaran Semasa)

1. Surah al Fatihah
2. Surah al-Kauthar
3. Surah al-Ma'un
4. Surah Quraisy
5. Surah al-Fiil
6. Surah al-Humazah
7. Surah al-'Asr
8. Surah al-Qadr
9. Surah at-Tin
10.Surah al-Insyirah
11.Surah al-'Alaq
12.Surah al-Qari'ah
13.Kaifiat solat jenazah

*Sila hafal segera kerana sesi hafazan akan dibuat pada bila2 msa di dalam kelas

Soalan Tugasan Individu DUS 2142/DUS 3142

SOALAN TUGASAN INDIVIDU DUS 2142/DUS 3142
SEM 2 SESI JAN – JUN 2010

1. Jelaskan konsep nikah dalam Islam serta tanggungjawab keluarga mengikut pandangan jumhur ulamak.
2. Huraikan konsep pertunangan dan perwalian mengikut perbincangan ulamak.
3. Fungsi as-Sunnah dalam menentukan hokum. Bincangkan.
4. Sejaumanakah kedudukan Ijma’ dan Qias dalam pandangan Islam.
5. Kelebihan al-Quran sebagai sumber pandangan Islam. Bincangkan pandangan ulamak mengenai kedudukan al-Quran.
6. Hudud dan Qisas menjamin keamanan sejagat. Huraikan
7. Sistem syura merupakan tunjang sistem pemerintahan Islam. Bincangkan perbezaan sistem syura dengan demokrasi dalam sistem pemerintahan bernegara.
8. Pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin sangat diiktiraf sebagai pemerintah terbaik selepas Rasulullah s.a.w. Huraikan bentuk-bentuk kecemerlangan yang telah dilakukan sepanjang pemerintahan mereka.
9. Bagaimankah baitulmal berfungsi dalam menjamin survival kehidupan berekonomi umat Islam.
10. Takaful, gadaian (ar-Rahnu) dan wakaf sebagai produk kewangan Islam yang menghapuskan unsur-unsur kezaliman.
11. Globalisasi tajaan barat mengancam sistem hidup umat Islam. Huraikan kesan-kesan globaisasi ke atas cara hidup umat Islam.
12. Konsep pendidikan dalam Islam. Bincangkan
13. Zakat merupakan salah satu rukun dalam rukun Islam. Bincangkan kepentingan zakat dalam kehidupan umat Islam.
14. Personaliti dan pandangan Saidina Umar al-Khattab yang dianggap melangkaui zaman. Bincangkan.
15. Amalan sekularisme dan liberalisme mengancam kedudukan Islam di Malaysia. Bincangkan.
16. Antara dasar perjuangan golongan feminisme ialah menuntut hak samarata dalam berkehidupan. Bincangkan.
17. Apakah faktor perpecahan umat Islam masakini dan berikan jalan penyelesaian.
18. Islam agama yang tidak mendiskriminasi golongan wanita. Jelaskan kedudukan wanita di dalam Islam.
19. Konsep perpaduan di dalam Islam perlu dipertahankan. Bincangkan konsep perpaduan di dalam Islam dan cabaran yang harus ditempuh oleh umat Islam.
20. Melahirkan pasangan suami isteri yang ideal menurut Islam amat dituntut. Bincangkan.
21. Penyelesaian terakhir/terbaik dalam penyelesaian rumahtangga ialah talak. Huraikan konsep talak dan rujuk dalam Islam.

*Sila cari bahan berdasarkan tajuk masing2, untuk rujukkan dari buku paling kurang 5buah,bahan dari internet 3 adress web (catat tarikh ketika anda copy bahan). Cara untuk membuat tugasan akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat.Sila maklumakan pada kawan2. Terima kasih.

Saturday, December 26, 2009

Kenali Orang Kelantan yang "murtad"

Kenali Orang Kelantan yang "murtad"
Tok Pepijat

Rakyat Kelantan terkenal dengan "ketaksuban" mereka dengan budaya mereka. Mereka berada di seluruh pelusok Malaysia. Bahkan di seluruh dunia. Mereka akan membawa budaya mereka ini di mana sahaja mereka berada. Antara budaya-budaya yang "amat keramat" ialah budu , loghat percakapan mereka dan kesatuan komuniti mereka.

Tentang budu, mereka sanggup pikul gelen budu masuk ke perut kapal terbang jika mereka merantau jauh atau balik dari bercuti di kampung halaman. Begitu juga "kecek" mereka. Mereka tetap amalkan loghat mereka di mana jua berada.
Bahkan ramai rakan-rakan mereka dari negeri lain terikut-ikut dengan "kecek Kelantan". Malah ada rakyat Mesir dapat bercakap loghat Kelantan hasil pergaulan dengan pelajar Kelantan di Mesir. Begitu kuat pengaruh budaya mereka.

Kesatuan komuniti rakyat Kelantan juga tinggi. Lihatlah semasa Final Piala Malaysia 2009. Ramai rakyat Kelantan yang tinggal, bekerja dan belajar di sekitar Lembah Kelang "turun" ke Stadium Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan.

Sifat budaya kesatuan komuniti ini di bawa oleh mereka bertujuan untuk tolong menolong dan saling bantu membantu. Jika orang Cina boleh wujudkan "China Town" di seluruh dunia, orang Kelantan juga telah mewujudkan "Kelantan Village" di seluruh negara.

Dengan 3 aspek budaya di atas tadi iaitu budu, loghat dan kesatuan melahirkan orang Kelantan yang berjiwa bebas, merdeka, punya jati diri , bijak berpolitik, sayang dan kasih kepada negeri mereka.

Mana-mana orang Kelantan yang "menjauhi" dari 3 aspek budaya itu, akan dipinggirkan dan di gelar sebagai "Ore Kelate ye murtad" ! Jika ada orang Kelantan yang "kecek bahasa luar" sesama sendiri akan mendapat label "murtad". Begitu juga yang tidak bergaul dengan komuniti sendiri dan mengutuk dan tidak membela negeri sendiri juga bakal di gelar demikian.

sambungan di sini
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23876:-kenali-orang-kelantan-yang-qmurtadq&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46

Tuesday, December 15, 2009

Ulama Tidak Bina Minda Kritikal

Salhan K Ahmad | Dec 15, 09 11:49am

Para ulama lebih cenderung untuk menyalahkan 'dunia barat' atas kemunduran umat Islam sedangkan golongan ini sendiri tidak proaktif dalam membangunkan minda masyarakat supaya bersikap lebih kritikal, termasuk terhadap pandangan mereka sendiri.

Prof Tariq Ramadan, seorang tokoh pembaharuan Islam, berkata kelemahan ini dikesan antaranya disebabkan para ulama kini bukan sahaja jauh terpisah daripada ilmu-ilmu baru, khususnya bidang bukan agama, malah dilihat tidak lagi bersama orang kebanyakan dan golongan akar umbi.

"Ini adalah satu seruan kepada orang Islam supaya memahami di manakah masalahnya, dan apakah kita komited dengan perubahan yang kita uar-uarkan," kata ilmuan Islam berpengaruh itu dalam satu syarahan mengenai reformasi dan pembaharuan agama di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Bekas pensyarah di Universiti Oxford itu juga berkata, para ulama dilihat bercakap dengan menggunakan istilah-istilah yang sama, tetapi mengandungi makna yang berbeza-beza.

Tambahnya, ulama perlu membezakan prinsip dasar perundangan Islam dan juga undang-undang syariah, sesuai dengan keperluan semasa, untuk mencapai objektif prinsip tersebut.

"Contohnya, Saidina Umar Al-Khattab telah menggantung sementara pelaksanaan hukum hudud pada satu tahun ketika rakyatnya menghadapi kebuluran.

"Bagaimana ini boleh dilakukan sedangkan di dalam Al-Quran telah menyatakan (kewajiban hudud) ini dengan jelas?" katanya lagi.

Jelasnya, undang-undang itu perlu difahami sebagai satu tujuan untuk mencapai keadilan dan bukannya tentang pematuhan kepada kod syariah semata-mata.

"Kita memerlukan (model) yang lebih sofistikated. Untuk pergi ke arah itu, kita perlu mempunyai wawasan, rangka kerja dan perubahan radikal dalam pemikiran kita," katanya lagi.

Jelasnya lagi, prinsip Islam bersifat sejagat dan merentasi tempat dan masa tetapi model tertakluk pada konteks masa atau lokasi pelaksanaan sesuatu.

"Jadi, jika kita cuba mempraktikkan model Madinah (pentadbiran Islam era Nabi Muhammad) di Kuala Lumpur, ia adalah mustahil," katanya, kini presiden Jaringan Islam Eropah yang berpusat di Brussels.

Jelasnya, umat Islam juga perlu mengambil sikap lebih radikal, antaranya kewibawaan untuk bercakap tentang Islam juga perlu diubah dan tidak dihadkan kepada para ulama sahaja.

"Jadi siapakah yang perlu melakukannya? Orang-orang dalam masyarakat ini sendiri, mereka yang duduk secara pasif dan menyalahkan para ulama kerana tidak menjalankan tugas mereka.

"Ada di kalangan kita yang berada di kemuncak (kerjaya) dalam bidang masing-masing, tetapi apabila ditanya soal agama, mereka kata mereka tidak tahu apa-apa. Mereka bersifat keanak-anakan dalam bidang agama, tetapi pakar dalam bidang-bidang lain," katanya lagi.

Tambahnya lagi di depan kira-kira 300 hadirin, para ulama perlu memahami konteks perkembangan ilmu semasa dan hubungannya dengan asas-asas pemikiran untuk menangani dunia yang pesat berubah seperti hari ini.

Ulama pada masa lalu mampu mendalami ilmu bukan agama – yang membantu memahami agama dan kehidupan – dan pada masa sama menjadi pakar dalam ilmu-ilmu asas agama, jelasnya.

"Namun pengetahuan dalam bidang sains, dalam perubatan, malah dalam ekonomi kini sudah menjadi begitu kompleks sehingga memerlukan komitmen yang lebih mendalam untuk memahaminya.

"Jadi bagaimana kita hendak menguasai ekonomi sekiranya tidak ada di kalangan kita sekarang yang boleh memberi persaingan kepada sistem riba dan spekulasi pasaran?"

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh para ulama kini adalah dengan mengekstraksi sejarah kegemilangan Islam itu ke dalam model dunia semasa yang boleh dipraktikkan pada masa kini.

"Jika bercakap tentang sains (Islam), kita bercakap tengan Timur Tengah. Jika bercakap tentang seni bina (Islam), kita bercakap tentang Andalusia, kita cuma bercakap tentang sumbangan pada masa lalu, tapi apa sumbangan kita (kini) untuk masa depan?"

"(Pembangunan) ini adalah salah satu proses, tapi apakah wawasan kita? Apa yang hendak kita capai? Di mana hala tuju kita? Apa projek kita untuk Islam hari ini?"

Jelasnya lagi, masyarakat Islam kini tidak boleh hanya bergantung kepada ulama teks, tetapi memerlukan ulama dalam konteks bidang kepakaran masing-masing.

"Kita perlukan ulama dalam bidang perubatan, psikologi, sosiologi dan ekonomi dan dalam pendidikan untuk memberikan wawasan kepada kita," katanya di majlis bersempena pelancaran NGO baru Islamic Renaissance Front (IRF).

Tambahnya, masyarakat Islam seperti di Malaysia masih berkemampuan untuk mencapai kemajuan tanpa mengabaikan ciri-ciri budaya masyarakat setempat seperti dalam soal kesenian.

"Ada sesetengah ulama yang kata (bahawa) mendengar muzik itu haram, tapi janganlah kata saya yang dengar muzik ini kurang Islam daripada anda kerana saya dengar muzik.

"Jangan biarkan sesiapa di Malaysia atau dari mana-mana negara memberitahu anda (bahawa) untuk menjadi Islam anda perlu mengarabkan diri anda.

"Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan budaya Arab adalah budaya Arab. Budaya anda perlu menghidupkan Islam sebagai agama sejagat, ini perlu dijelaskan, kata Tariq lagi.

http://www.malaysiakini.com/news/119858
15/12/2009

Wednesday, November 18, 2009

Tiru Cara Oxford Untuk Cemerlang

Oleh ANUAR AHMAD

KALI pertama 'mengenali' Universiti Oxford ialah semasa ayah penulis membeli set peralatan geometri untuk mata pelajaran matematik sewaktu darjah empat dahulu. Di luar kotak geometri itu terdapat lambang dan nama universiti tersohor ini.

Sejak itu cerita kehebatan universiti ini mula penulis kutip sedikit demi sedikit. Pernah guru penulis berkata, Universiti Oxford hanya untuk anak-anak raja sahaja. Anak petani dan nelayan walaupun pandai belum layak belajar di sana. Mungkin itu adalah kata-kata dorongan dari seorang guru.

Minggu lalu penulis berkesempatan ke bandar akademik ini - lawatan keempat ke sana. Perjalanan ke Universiti Oxford mengambil masa sejam dari stesen kereta api Paddington, London. Pelawat juga boleh menaiki bas ekspres dari stesen Victoria, London ke bandar Oxford. Ia mengambil masa sekitar dua jam.

Oxford merupakan universiti terbaik di Britain dan antara tiga universiti ulung dunia selain Universiti Harvard dan Universiti Cambridge.

Bagaimana institusi akademik yang dibina sejak 1096 ini masih berjaya mempertahankan keunggulan selama lebih 900 tahun? Apakah rahsia dan strategi pihak pentadbir?

Penulis ke sana kerana memenuhi jemputan rakan sepengajian yang kini mengajar di Oxford. Ada beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran untuk kita gunakan bagi meningkatkan keunggulan universiti kita.

Pertama, Oxford merupakan universiti yang berteraskan penyelidikan. Malah aktiviti utama pensyarahnya ialah menjalankan penyelidikan. Pelajar juga belajar melalui proses penyelidikan dengan seliaan tutor akademik atau "Don". Hampir semua pensyarah mempunyai geran dan mendapat dana penyelidikan luar selain yang disediakan oleh pihak universiti.

Melihat kepada senarai bidang penyelidikan yang telah dan sedang dilakukan, kebanyakan kajian mereka bersifat inovasi terutama di dalam bidang-bidang baru. Pihak universiti dengan kerjasama sektor korporat nampaknya tidak takut untuk memberikan geran penyelidikan kepada bidang kajian yang masih baru dan belum pasti boleh dikomersialkan.

Tradisi ini sudah lama di Oxford. Lihat sahaja bagaimana penciptaan antibiotik penisilin di makmal patologi universiti ini pada 1928 oleh Sir Alexander Fleming - pakar bidang antibakteria. Ketika awal kajian, tiada siapapun menyangka bahawa ciptaan itu akan berjaya menyelamat nyawa jutaan manusia.

Laporan kewangan tahunan pada 2006 menunjukkan penjanaan geran penyelidikan Oxford mencecah lebih RM1.3 bilion. Ia tidak termasuk dana kerajaan Britain yang berjumlah hampir RM700 juta.

Pendapatan keseluruhan universiti ini pada 2006 melebihi RM3.8 bilion. Manakala pendapatan keseluruhan 38 kolej pengajiannya pula berjumlah hampir RM900 juta.

Kedua, sistem pengajaran di Oxford sangat berbeza dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan universiti di negara lain termasuk Malaysia. Universiti Oxford dan Cambridge sejak ratusan tahun lalu masih mengekalkan kaedah pengajaran tutorial bersemuka antara seorang pensyarah dengan seorang atau sekumpulan maksimum empat pelajar.

Pelajar di universiti ini perlu mempunyai tahap pemikiran yang tinggi untuk membuat penjelasan kepada pensyarahnya tentang projek penyelidikan mereka. Pelajar perlu bersedia mengolah teori, memberikan bukti serta mempertahankan penemuan mereka di depan penyelia mereka.

Menurut rakan penulis, bilangan helaian tugasan bukan sesuatu yang penting tetapi idea serta keupayaan mempertahankan idea lebih diberikan keutamaan. Budaya intelektual ini sebenarnya menajamkan daya pemikiran pelajar.

Ketiga, Universiti Oxford terbina di bandar Oxford. Hubungan universiti dan masyarakat sangat akrab. Kita hampir tidak dapat membezakan di jalanan antara pelajar dan penduduk bandar ini. Perbezaan yang ketara mungkin daripada segi umur sahaja. Kedaikedai kecil di Queen Street misalnya dipenuhi oleh pelajar di waktu tengah hari dan lewat petang.

Masyarakat sekitar memberikan sokongan kepada aktiviti akademik dan bukan akademik. Misalnya persembahan teater pelajar turut ditonton oleh pensyarah dan penduduk sekitar. Begitu juga program seminar dan diskusi. Bukan sahaja dihadiri oleh ahli akademik dan pelajar tetapi juga turut dihadiri oleh penduduk di sana.

Keempat, Universiti Oxford sebenarnya terdiri daripada 38 kolej pengajian. Mungkin berbeza dengan IPTA Malaysia yang menggunakan sistem fakulti atau sekolah pengajian. Melalui sistem desentralisasi pentadbiran kolej pengajian, universiti ini berjaya berkembang dengan baik.

Setiap kolej mempunyai sistem pentadbiran autonomi sendiri di dalam menguruskan pentadbiran dan kewangan. Kolej Merton, Kolej St Mary dan Kolej Magdelan adalah antara kolej yang paling tua. Sementara Kolej St John dikatakan kolej yang paling banyak simpanan dana.

Hampir satu pertiga bangunan di bandar Oxford dikatakan milik kolej ini. Hasil sewaan dan pajakan hartanah ini menjadi punca utama dana untuk Kolej St John menjalankan penyelidikan dan tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Pada yang pernah menonton filem Harry Potter, anda akan sempat melihat adegan di dewan utama Kolej Christ Church yang dikatakan dewan besar yang paling cantik di Universiti Oxford.

Kelima, jika kita berjalan kaki dari kolej ke kolej pengajian, kita akan melihat bagaimana tradisi dipelihara dan dijaga dengan begitu baik. Hampir semua bangunan kolej yang berusia ratusan tahun dikekalkan seperti binaan awal.

Cuma bahagian dalam bangunan dimodenkan. Kita tidak akan melihat papan tanda bersaiz besar sehingga melindungi dinding bangunan kolej. Cukup sekadar sekeping plak tembaga di sebelah pintu masuk utama kolej sebagai tanda kepada pelawat.

Bagaimanapun perubahan dilakukan dengan begitu hebat di bahagian dalam bangunan. Hampir semua bangunan dilengkapi dengan sistem keselamatan terkini. Begitu juga dengan sistem ICT dan juga kemudahan untuk pensyarah dan pelajar.

Mungkin pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tradisi dijunjung, perubahan dizahirkan menepati sekali dengan apa yang dilakukan oleh pentadbir Universiti Oxford!

Seperkara lagi, banyak tradisi serta penekanan kepada etika menjadi keutamaan kepada universiti ini. Misalnya jamuan tahunan setiap kolej dihadiri oleh kerabat diraja Britain dan duta asing.

Begitu juga dengan beberapa acara tahunan seperti pertandingan kriket antara kolej serta mendayung kayak. Banyak lagi tradisi seumpamanya dikekalkan sejak ratusan tahun dahulu.

Tidak sah kalau lawatan ke Universiti Oxford ini jika tidak menjejakkan kaki ke kedai buku utama penerbit Blackwell. Sesiapa yang pernah ke kedai buku ini pasti kagum dengan jumlah buku yang dijual. Ratusan ribu buah dalam pelbagai bidang ada di sini. Seharian berada di kedai buku ini sememangnya tidak cukup khususnya kepada peminat buku akademik.

Selain itu universiti ini juga mempunyai sistem arkib buku terbesar di Britain. Terdapat gedung stor buku yang dibina di bawah bumi Oxford. Semua penerbit buku terkemuka dunia akan menghantar senaskhah buku untuk disimpan di gedung ini.

Pihak arkib terpaksa membina sistem landasan kereta api tersendiri untuk kakitangannya berulang alik mendapatkan buku yang dipesan oleh pelanggan arkib.

Jika anda berhajat untuk meminjam buku di gedung buku ini, anda perlu menunggu di kaunter sekurang-kurang enam jam untuk menerima buku yang dipesan!

Pemerhatian yang terakhir ialah berkaitan aktiviti pelajar. Di luar dewan kuliah, pelajar giat menganjurkan pelbagai aktiviti ilmiah seperti debat dan seminar.

Mereka juga giat menganjurkan teater dan drama di hujung minggu. Selain itu kegiatan amal turut mendapat sambutan.

Sepanjang setahun lalu, persatuan pelajar Oxford telah menganjurkan siri ceramah oleh ahli politik Britain, para duta, bekas perdana menteri dan juga presiden dari negara serta tokoh-tokoh dunia korporat yang berjaya. Semuanya diuruskan sendiri oleh para pelajar.

Bagaimana dengan persatuan pelajar kita? Apakah bentuk aktiviti mereka? Apakah aktiviti yang dilakukan bagi menyokong pembudayaan intelektual mahasiswa?

Universiti Oxford telah melahirkan begitu ramai tokoh yang mempengaruhi perjalanan sejarah dunia sejak dahulu. Nama-nama seperti Bill Clinton, Indra Ghandi, Stephen Hawking, Rupert Murdoch dan ramai presiden di Eropah, Asia dan Afrika.

Universiti ini juga menghasilkan 47 penerima Hadiah Nobel, 25 orang Perdana Menteri Britain, lebih 30 perdana menteri dan presiden pelbagai negara, puluhan sasterawan dunia seperti John Fowles, Evelyn Waugh, Lewis Caroll dan Plum Sykes.

Selain itu ia juga menghasilkan ribuan saintis, pakar ekonomi, usahawan dan jurutera terhebat bertaraf dunia.

Usia universiti kita memang jauh lebih muda daripada Oxford. Jadi tidak rugi jika laluan dan pengalaman mereka kita analisis dan tiru. Jika Universiti Oxford berjaya mengekalkan keunggulan hampir 900 tahun, maknanya tradisi mereka sememangnya sudah teguh dan terbukti.

Tentunya kita juga ingin membina tradisi keilmuan di IPTA negara ini, maka apa salahnya jika sekali sekala menoleh ke Barat untuk mempelajari rahsia kejayaan mereka.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Akademik Kolej, Pusat Perkembangan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia

-utusan-Rencana 18/11/2009