I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, April 12, 2012

Mengapa Rasulullah SAW melarang minum sambil berdiri???

Islam telah menetapkan adab bagi umatnya dalam melakukan sesuatu kegiatan bagi mendapat kesejahteraan. Begitu juga islam telah menetapkan adab-adab ketika minum. Permasalahan berkaitan minum berdiri ini telah menyebabkan ulama berbeza pendapat mengenai hukum minum berdiri itu.

Hadis yang menunjukkan tegahan minum berdiri ialah hadis yang diriwayat oleh muslim iaitu: Terjemahan: dari anas ra, sesungguhnya nabi Muhammad saw melarang minum berdiri. Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh muslim didalam kitab minuman, bab tegahan minum berdiri, hadis yang ke 3771.

Hadis ini menjelaskan larangan yang berbentuk tegahan minum secara berdiri. Namun ulama telah berselisih pendapat mengenai larangan minum berdiri ini. Ibn qym berpendapat hukum minum berdiri ini adalah haram dan hanya dibenarkan sekiranya terdapat halangan yang menghalangnya minum secara duduk.

Namun beberapa fuqaha seperti imam malik berpendapat laranagn ini telah dimansukhkan dengan hadis Ibn Abbas iaitu: Terjemahan: dari Ibn Abbas berkata, aku memberi air zam-zam kepada Rasulullah saw, lalu baginda meminumnya sambil berdiri ( riwayat muslim).

Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh muslim didalam kitab minuman, bab minum air zam-zam berdiri, hadis ke 3776. Hadis ini menunjukkan rasulullah saw minum air zam-zam dalam keadaan berdiri. Imam malik telah memansukhkan hadis yang pertama tadi dengan hadis ini yang menunjukkan minum berdiri bukan haram.

Perkataan nabi melarang minum berdiri itu, menurut zahirnya larangan minum sambil berdiri itu. Tetapi hadis ibnu abbas menunjukkan bolehnya minum berdiri. Al-Mazuri berkata, orang-orang yang berselisih pendapat dalam masalah ini ialah jumhur yang berpendapat boleh minum berdiri dan pendapat yang lain berpendapat makruh.

Hadis dari anas ra merupakan hadis sunnah qauliyah manakala hadis dari Ibn Abbas merupakan hadis sunnah fi’liyyah. Apabila kedua-dua hadis ini bertembung, maka yang menjadi dasar hokum ialah hadis sunnah qauliyah, manakala hadis sunnah fi’liyyah berperanan menafsirkan maksud sebenar yang terkandung dalam hadis sunnah qauliyah tersebut. Ini bererti tegahan pada hadis anas tadi bukan membawa maksud haram, tetapi makruh.

Imam Nawawi berkata yang sebenarnya, larangan yang di maksudkan itu adalah untuk kebersihan dan perbuatan nabi minum berdiri itu menjelaskan bolehnya minum berdiri dan tidak haram. Berdasarkan pada hadis yang menegah minum berdiri itu, dapat di lihat mengapa rasulullah saw menegah kita minum berdiri.



KAJIAN DARI SUDUT SAINS


Di antara sebab di larang minum berdiri ialah, menurut pakar perubatan Dr Abdul Razzak Al-Kailani “Sesungguhnya makan dan minum duduk lebih baik dr segi kesihatan, lebih selamat, lebih puas; dimana makanan dan minuman lalu di dinding perut dgn tenang.

Adapun minum berdiri menyebab cecair akan jatuh ke dasar perut dgn keras dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini selalu berlaku dan lama masa berlalu akan menyebabkan perut akan longgar dan jatuh sehingga menyebabkan susah nak hadam. Begitu juga dgn makanan.

Menurut pandangan Dr Ibrahim Ar-Rawi, apabila seseorang itu berdiri ototnya menjadi tegang (strain) dan pada masa yang sama sisitem imbangan pada sistem saraf pusat (central nervous system) dalam keadaan terlampau aktif mengawal semua otot, untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak.

Ia adalah proses gabungan diantara sistem saraf dan sistem otot dlm satu masa yg menyebabkan manusia tidak mampu mendapat kerehatan anggota. Kerehatan otot adalah syarat yg terpenting ketika makan dan minum dan wujud ketika mana duduk.

Apabila duduk maka sistem saraf dan sistem otot dlm keadaan tenang dan sensation (rasa) akan menjadi aktif serta sistem penghadaman akan bertambahnya kemampuan (ability) untuk menerima makanan dan minuman dan akan menyerap (assimilation) makanan dengan cara yang betul.

Namun demikian diharuskan berdiri ditempat yg tak sesuai duduk sprti tempat yg terlampau sesak. Ini adalah kerana Nabi s.a.w pernah minum berdiri,ini berdasarkan kepada hadis Ibn Abbas yang menyatakan rasulullah minum air zam-zam berdiri.

Persoalannya di sini, mengapa rasulullah minum air zam-zam dalam keadaan berdiri.

Menurut kajian pakar, air zam-zam mengandungi fluorida yang memiliki daya efektif membunuh kuman serta ia mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding air biasa, dari segi saintifik air zam-zam bersifat alkali, jadi air zam-zam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil di dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati.

Jadi inilah sebab rasulullah minum air zam-zam berdiri supaya air tersebut cepat dapat meneutralkan asid yang terhasil dalam perut.

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain, inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan anbodi kepada orang yang meminumnya.

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Subhanallah, tiap perintah dan larangan Rasul pasti bermanfaat bagi umatnya!

Terapi air putih : JANGAN LUPA BANYAKKAN MINUM AIIR MASAK..


1. Minum 2 gelas air setelah bangun tidur dpat membersihkan organ-organ internal.


2. Minum segelas air 30 minit sebelum makan dapat membantu fungsi seluruh pencernaan + ginjal


3. Minum segelas air sebelum mandi dapat menurunkan tekanan darah


4. Minum segelas air sebelum tidur dapat mencegah stroke + serangan jantung

"Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
(1) orang-orang yang beriman,
(2) dan yang beramal soleh
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran
(4) dan yang berpesan2 pada kesabaran".
~Surah Al-'Asr.

Sunday, April 8, 2012

Pemikiran Kritikal

Oleh DR. SIDEK BABA


ISTILAH kritikal berasal dari perkataan Greek kritikos yang bermaksud judge atau menghakimi atau mengadili. Dalam tradisi orang-orang Greek dan Yunani, ia melahirkan pemikir-pemikir yang amat kritikal terhadap sesuatu subjek dan akhirnya menjadi ahli falsafah yang terkenal.


Barat menjadikan asas berfikir Aristotle, Plato dan Socrates sebagai landasan mengembangkan ilmu dan kehidupan. Dalam tradisi orang-orang Islam pemikiran kritikal memang menjadi landasan dalam membuat sesuatu keputusan, tafsir dan takwil . Menafsir al- Quran dan hadis dilakukan secara kritikal supaya hasil pemikiran selari dengan kebenaran. Kebenaran dalam Islam merujuk kepada sumber naqliah atau sumber wahyu. Wahyu adalah autoriti atau wibawa yang tertinggi dalam memandu manusia berfikir supaya kebenaran yang diterima tidak saja zahir tetapi memberi makna yang hakiki.


Berfikir secara kritikal membimbing pemikir ke arah kebenaran. Puncak kepada berfikir menemukan manusia mengenai kebenaran. Proses berfikir kritikal membolehkan seseorang membezakan yang benar dengan yang salah, yang buruk dengan yang baik, yang bermanfaat dan bermusibat, yang memberi faedah atau mendatangkan padah dan sebagainya. Sudah tentu asas yang memberikan kemampuan seseorang berfikir kritikal ialah ilmu, maklumat, pengalaman, pertukaran pandangan dan dalam tradisi Islam diakhiri dengan hikmah. Hikmahlah merupakan jalan terbaik membimbing manusia menemui kebenaran.


Para remaja adalah kelompok yang terbaik dilatih untuk berfikir kritikal. Kemajuan ilmu dan pemikiran atau idea bergantung kepada wujudnya suasana yang mengizinkan pemikiran kritikal berlaku. Apalagi untuk melahirkan modal insan yang berkualiti kemahiran berfikir secara kritikal adalah amat dituntut. Remaja bakal menjadi dewasa dan bakal memegang teraju kepimpinan dan pengurusan ilmu, sistem dan negara pada masa depan.
Amat penting remaja hari ini dididik dengan kemahiran berfikir yang kritikal supaya jenis cabaran yang dinamik berubah tidak menjadikan remaja gelabah untuk mencari arah diri dan arah tujuan dalam mengurus manusia dan kemanusiaan.


Di zaman pasca moden ini faham anarki (ketidakaturan) berkembang pesat dalam pemikiran, kesenian, bahasa, kebudayaan malah gaya hidup manusia. Globalisasi yang datang menjadi pemangkin terhadap jalur anarki. Kemajuan sains dan teknologi menyebabkan faham anarki semakin mengukuh dengan melebarkan jaringan komunikasi dan telekomunikasi dan akhirnya membentuk suatu budaya popular yang menghubungkan sesuatu dengan konsep realiti.
Konsep realiti sudah mula menolak jalur tradisi dan akhirnya bakal menjinjing manusia kepada kesamaran hala tuju hidup.


Untuk menjadikan remaja berfikir secara kritikal, pemahaman terhadap tradisi perlu kukuh, asas ilmu harus teguh, sikap terbuka terhadap perbezaan perlu ada, ketelitian terhadap fakta dan data perlu wujud. Kesediaan diri untuk dikritik dan mengkritik juga perlu ada. Tanpa asas ini pemikiran kritikal tidak akan berkembang. Pemikiran kritikal memandu remaja berfikir secara teliti, analitikal dan berupaya memberikan hujah-hujah yang baik dan bernas apabila fakta itu didapati tidak benar atau diolah dengan dangkal atau tidak berasaskan maklumat yang sahih dan jitu.


Perubahan


Menghadapi perubahan ruang dan waktu, para remaja tidak harus mengambil sikap menolak tradisi. Tradisi adalah mata rantai yang membangun tamadun. Kemajuan yang dicapai pada hari ini adalah hasil adanya tradisi berfikir dan berilmu yang menjadi tapak atau titik-tolak keunggulan ilmu pada masa lalu. Tidak mungkin apa yang akan berlaku pada masa depan tanpa tapaknya terbina di hari ini. Pemahaman terhadap tradisi ialah sesuatu yang berkesinambungan. Asas-asas yang baik dijadikan teladan dan mengembangkan budaya hidup yang beradab dan subur dengan nilai kemanusiaan.
Kemahiran yang perlu ada pada remaja di samping memahami dan menghargai tradisi ialah mengurus perubahan.


Dalam Islam yang berubah itu ialah bentuk atau sesuatu yang dikaitkan dengan kemajuan alat. Fitrah kehidupan tetap sama. Sejak zaman Nabi Adam sehinggalah ke zaman Nabi Nuh, Lut, Isa, Musa dan Nabi Muhammad dua perkara yang menjadi asas kecenderungan manusia iaitu sama ada manusia kekal berada dalam fitrah atau manusia yang melampaui batas fitrah. Alat yang digunakan dengan maksud yang baik bakal mengukuhkan fitrah manusia tetapi alat yang digunakan untuk maksud yang tidak baik boleh merosakkan fitrah manusia yang asalnya baik. Risalah nubuwah atau keNabian bermaksud mengajak manusia kembali dan kekal dalam keadaan fitrah. Manusia diberikan pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib, mengenai yang dicipta dan Pencipta, hubungan yang dicipta dengan persekitarannya supaya kebenaran yang hakiki menjadi asas membangunkan manusia dalam keadaan yang fitrah.


Sebagai remaja Islam, asas ilmu Mengurus Diri dan asas ilmu Mengurus Sistem perlu kukuh. Serangan fahaman sekular dan liberal masa kini boleh menjerumuskan kecenderungan kritikal kepada faham anarki. Banyak masalah kehidupan yang dialami oleh orang Barat yang berkembang hasil penolakan mereka terhadap hidup yang fitrah. Isu-isu seperti hak asasi, gender, feminisme dan pandangan terhadap agama lahir kerana asas berfikir mereka tidak lagi dipedoman oleh agama. Agama bagi mereka tidak relevan dan menganggap ‘Tuhan sudah mati’.


Sebahagian remaja dan dewasa apabila terdedah dengan orientasi ilmu Barat yang menolak agama, tiba-tiba menjadi ‘orientalis baru’ yang mengkritik asas keagamaan yang dianut oleh orang-orang terdahulu mahupun orang-orang terkini. Menghubungkan sesuatu dari Barat sebagai maju dan mengaitkan sesuatu yang datang dari agama sebagai kolot tidak datang dari daya kritis yang baik. Kalau begitu apa asas yang menyebabkan tamadun Islam berkembang berabad-abad sehingga Barat terhutang ilmu kepada Islam.
Hari ini, umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi Barat.
Kemunduran umat Islam pada hari ini secara kritisnya berpunca dari renggangnya hubungan umara (pemimpin) dengan ulama' atau ilmuan. Umara' atau kepimpinan kini cenderung menjadikan Barat sebagai model terbaik dalam pembangunan dan kemajuan dan kurang cenderung memperkasa tamadun sendiri. Sebahagian besar ulama memiliki keupayaan yang baik mengenai ilmu Mengurus Diri tetapi amat kurang kepakaran dalam Ilmu Mengurus Sistem. Akhirnya dikotomi umara dan ulama melahirkan konflik yang bakal memberi kesan terhadap kesatuan umat.


Kedua, ilmu yang diteroka oleh generasi muda Islam tidak sifatnya integratif. Falsafah dan etika ilmu Mengurus Sistem tersisih dengan nilai-nilai murni Ilmu Mengurus Diri. Ia menyebabkan konflik keilmuan yang berterusan dan merugikan. Ketiga, tradisi tadabbur atau penyelidikan tidak berkembang, menyebabkan tidak lahirnya penemuan-penemuan dan karya-karya besar untuk dijadikan rujukan umat. Keempat kegagalan menjambatani tradisi turath atau menghayati kitab-kitab lama dengan metodologi baru dalam karya-karya terkini yang menyebabkan karya-karya terkini lebih dominan menguasai minda remaja dan generasi baru.


Bersikap kritis terhadap ajaran dan pengajaran dalam tradisi Islam tidaklah ditolak dan bersikap kritis terhadap watak umat Islam memang dialu-alukan. Tetapi kritis terhadap kebekuan dan tidak berkembangnya ilmu Islam bukan bermakna ajaran Islam itu tidak berdaya maju. Bersikap kritis kepada amalan umat Islam adalah perlu. Tidak semua amalan yang berlaku sama ada dalam proses pengilmuan dan kehidupan selari dengan ajaran Islam.
Oleh itu para remaja hari ini harus mempunyai daya kritis yang tinggi supaya dinamika agama dan kehidupan sentiasa seiring. Mengkritik kelemahan umat Islam tidak semestinya menolak kepentingan agama dalam kehidupan. Ada sebab-sebab lain yang menyebabkannya lemah. Ajaran agama memerlukan penyegaran dan penjernihan kembali. Ia tidak bermakna remaja Islam menolak prinsip-prinsip asasi yang ada pada Islam baik akidah, ibadah, mualamal, syariah dan sebagainya. Tetapi upaya kritis itu hendaklah mampu menjadikan prinsip dan ajaran Islam sesuatu yang hidup dan terus mampu mempedoman zaman dan memacu perubahan. Inilah asas pemikiran kritis yang harus disuburkan oleh remaja.


- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.


*Bicara Agama, Utusan Malaysia, 15 Julai 2006